Minggu ini mencatat sejarah baharu, Malaysia berdiri megah di pentas dunia. Bukan sekadar sebagai tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, tetapi sebagai lambang kepimpinan yang matang, berwawasan dan disegani di rantau yang sering bergolak dengan perubahan geopolitik.
Di tengah kemeriahan diplomasi dan ucapan pemimpin dunia, satu momen mencuri tumpuan saya.
Kehadiran Sanae Takaichi, Perdana Menteri wanita pertama Jepun. Bayangkan, di pentas yang biasanya dikuasai oleh lelaki, muncul seorang wanita dengan tenang namun tegas, membawa aura kuasa yang lembut tapi membara.
Ia bukan sekadar simbol perubahan, tetapi pengiktirafan kepimpinan wanita kini bukan pengecualian.
Menariknya, beg yang dibawa Takaichi kini menjadi fenomena global dengan melonjakkan jenama dari Jepun iaitu Hamano Inc.
Beg Grace Delight Tote rekaan yang berharga ¥136,000 (RM3704) kini menjadi rebutan, bukan sahaja kerana statusnya yang eksklusif tetapi kerana ia melambangkan keseimbangan sempurna antara elegan dan praktikaliti.
Takaichi telah mengangkat fesyen sebagai bahasa baharu diplomasi wanita.
Di sinilah saya ingin memperkenalkan Raia dari jenama tempatan NA, beg tangan yang punya semangat yang sama.
Seperti ASEAN yang melangkah ke era baharu, Raia menggabungkan warisan dan kemodenan dalam satu rekaan yang menggambarkan wanita Malaysia masa kini.
Berani, bijak dan tahu ke mana hala tuju hidupnya. Diilhamkan daripada keanggunan busana tradisional, bentuk Raia mengambil inspirasi daripada aksesori Pending Melayu iaitu lambang kekuatan dan kehalusan wanita zaman silam.
Diolah semula dengan sentuhan seni krom moden yang mencipta kesan kontemporari dan urban.
Daripada segi bentuk, Raia hadir dengan siluet kotak segi empat. Kemas, terstruktur dan sangat bergaya. Ia umpama perisai gaya untuk wanita yang menakluki bilik mesyuarat dan brunch date dengan keyakinan yang sama.
Tapaknya dilindungi dengan stud logam, menandakan wanita Raia tidak pernah takut untuk berdiri teguh di mana-mana permukaan kehidupan. Tali bahunya sederhana panjang cukup untuk disandang dengan elegan atau digenggam dengan gaya yang penuh makna.
Bagi wanita yang tahu nilai warna dalam menyampaikan emosi, Raia hadir dalam tiga persona tersendiri. Deep Oxblood Red, untuk yang berjiwa pemimpin tegas namun tetap feminin.
Padankan dengan tona kelabu atau arang untuk aura I mean business. Warm Caramel Brown, lembut tetapi punya karakter. Sesuai untuk wanita yang inginkan penamilan sederhana.
Charcoal Black, klasik yang tak lapuk dek zaman. Pilihan yang mengutamakan kekemasan gaya dari pejabat hingga makan malam eksklusif.
Tips saya untuk ke tempat kerja, gayakan Raia Deep Oxblood dengan blazer longgar, seluar kaki lebar dan tudung satin berona nude blush.
Biarkan struktur beg ini menambah definisi kepada siluet yang longgar dan profesional. Untuk brunch hujung minggu, pilih Raia Caramel Brown bersama abaya linen berpotongan moden atau baju bersaiz besar serta tudung ringan dengan rona warna kopi susu.
Tambahkan kaca mata besar untuk gaya elegan.
Apabila malam tiba untuk makan malam gala atau majlis rasmi, Raia Charcoal Black adalah pasangan sempurna.
Biarkan ia menonjol dengan kaftan berkilau lembut dan hijab polos hitam satin.
Di bahu seorang wanita berjiwa Raia, dunia terasa seimbang di antara kelembutan dan ketegasan, tradisi dan kemodenan.
Kadangkala, kuasa tidak perlu dilaungkan. Ia cukup hadir dalam cara seorang wanita menggenggam begnya dengan tenang, tetapi seluruh dunia tahu. Dialah Raia.-UTUSAN










