KUALA NERUS: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super apabila berpesta gol membelasah Terengganu FC (TFC) 5-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, malam ini.
Jaringan hatrik Jairo Da Silva dan masing-masing daripada Bergson Da Silva serta Romel Morales memastikan skuad bimbingan Xisco Munoz meraih kemenangan kesembilan berturut-turut sekali gus mengumpul 27 mata di puncak liga.
Berkunjung ke laman lawan, skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan menerusi rembatan Bergson dari luar kotak penalti seawal minit ke-5 perlawanan sebelum Morales menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-30.
Bersambung babak kedua, Da Silva yang masuk sebagai pemain gantian meledak hatrik dalam tempoh 13 minit iaitu pada minit ke-63, 70 dan ke-76 untuk memastikan kemenangan bergaya JDT.
TFC turut mencipta beberapa peluang termasuk menerusi Akhyar Rashid dan Junior Ngong Sam namun pasukan pelawat kebal bertahan sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Badrul Afzan Razali terpaksa akur dengan kekalahan ketiga musim ini daripada lapan perlawanan.
TFC kini menghuni tangga keempat Liga Super, iaitu 14 mata di belakang JDT. – UTUSAN











