Ancaman keselamatan kini rentas sempadan

Ancaman keselamatan kini rentas sempadan

Mohamed Khaled Nordin memeriksa perbarisan pada raptai sempena Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu berkembang melangkui kerjasama ketenteraan dan peredaran zaman memandangkan ancaman serantau kini merentasi sempadan dan dimensi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang ancaman mahupun di darat, laut dan ruang siber termasuk bagi menguji rangkaian dan sistem negara tidak boleh diabaikan kerana ia sama berbahaya dengan ancaman maritim.

Katanya, kumpulan bukan kerajaan yang berpengaruh (NSA) kini menggunakan teknologi sebagai senjata untuk mengganggu masyarakat, menggugat kerajaan dan menjejaskan infrastruktur kritikal.

“ADMM mesti berkembang seiring dengan zaman kerana ancaman masa kini merentasi sempadan dan dimensi. Kita melihat cabaran di Laut China Selatan, namun kita juga mesti sedar bahawa ruang digital turut berisiko. Sama ada di darat, di laut, mahupun di ruang siber, kita tidak mampu lagi mengabaikan mana-mana aspek keselamatan

“Ancaman yang menguji rangkaian dan sistem kita mungkin tidak kelihatan, tetapi sama berbahaya dengan ancaman terhadap wilayah maritim, ia melalui serangan siber, penyebaran maklumat palsu, dan manipulasi digital,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, semua negara anggota ASEAN wajar memperkukuh teknologi dan jalinan kerjasama dalam keselamatan siber serta inovasi.

“ADMM mesti melangkaui bentuk kerjasama ketenteraan tradisional dengan memperkukuh jangkaan teknologi, kerjasama keselamatan siber serta inovasi bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, penganjuran ADMM dapat memperkukuhkan isu keselamatan negara ASEAN melalui latihan bersama, dialog keamanan dan kerjasama praktikal.

“Kekuatan ASEAN terletak pada nilainya dengan menghormati kedaulatan dan kemerdekaan, tidak campur tangan dalam urusan dalaman, penyelesaian pertikaian secara aman, penolakan penggunaan kekerasan, dan kerjasama yang berkesan.

“Melalui ADMM, kita menghidupkan nilai-nilai ini, melalui latihan bersama, dialog keamanan, dan kerjasama praktikal,” katanya.

ADMM ke-19 dan ADMM-PLUS ke-12 berlangsung bermula hari ini hingga 2 November dijangka menerima pakai 20 inisiatif baharu yang merupakan jumlah yang tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh setahun sepanjang mesyuarat itu diadakan.

Tumpuan utama ialah kepada kenyataan bersama mengenai kerjasama dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) sempena ADMM dan ADMM-PLUS yang membabitkan Amerika Syarikat, Jepun, China dan India.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×