PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah diperdayakan oleh pengurusan 1Malaysia Development Berhad yang bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho tau Jho Low.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustffa P. Kunyalam, walaupun terdapat banyak ‘tanda amaran’ sejak 2009, bekas Ahli Parlimen Pekan itu tetap tidak mengambil sebarang tindakan sehingga beliau hilang kuasa pada 2018.
Berbanding daripada bertindak menjauhkan diri, tertuduh sebenarnya mengukuhkan kedudukan Jho Low dalam urusan peribadi dan rasmi beliau.
Daripada bertindak mengambil tindakan terhadap Jho Low, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail telah ditamatkan perkhidmatannya pada 2015 iaitu ketika skandal penyelewengan dana RM2.3 bilion memuncak.
“Pada Ogos 2009, Jho Low berada di atas kapal layar bersama tertuduh dan ahli keluarganya sebagaimana yang ditunjukkan dalam gambar P487. Pada 26 September 2009, menurut bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh, Jho Low sekali lagi hadir dalam mesyuarat 1MDB sebagai penasihat kepada tertuduh.
“November 2009, semua pihak yang didakwa terlibat iaitu Jho Low dan Shahrol (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi) menemani tertuduh di New York untuk bertemu dengan pegawai Goldman Sachs, Llyod Blankfein dan Tim Leissner di suite peribadi tertuduh di Four Seasons New York.
“Pada Mac 2015, Tan Sri Tong Kooi Ong (Pengerusi The Edge Media Group) telah bertemu dengan tertuduh di kediamannya dan memberi amaran tentang kelicikan Jho Low tetapi telah diarahkan keluar.
“Pada tahun 2016, Jho Low terlibat dalam pelan rasionalisasi 1MDB bersama Amhari di China dan tertuduh mengetahuinya. Ini berlaku walaupun selepas amaran oleh TS Tong pada 2015. Apabila ditanya mengapa Jho Low hadir dan bukan pegawai Kementerian Luar Negeri, tertuduh (Najib) beri jawapan “Sebab kita ada sesuatu kita nak capai untuk kepentingan negara,” kata Mohamad Mustaffa.
Tambah pendakwa raya itu, kesimpulan yang boleh dibuat daripada tindakan yang diambil oleh Najib ialah Jho Low berfungsi sebagai perantara, proksi dan fasilitator penting tertuduh dalam urusan 1MDB.
“Jadi, bolehkah tertuduh kini mendakwa bahawa beliau telah diperdaya oleh Jho Low? Jawapannya ialah tidak,” kata Mohamad Mustaffa.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar menghujahkan Najib mendakwa bahawa wang yang dikatakan ‘derma Arab’ itu telah digunakan dengan niat baik bagi tujuan politik dan sosial.
“Niat baik tidak boleh membersihkan ‘wang kotor’. Tertuduh tidak boleh bersembunyi di sebalik tabir kejahilan. Tertuduh berulang kali mendakwa beliau mempercayai bahawa dana tersebut merupakan “derma daripada Arab Saudi” tetapi tidak pernah mengambil tindakan untuk mengesahkan perkara itu sebaliknya memilih untuk bergantung dengan kata-kata Jho Low.
“Kebergantungan tertuduh kepada Jho Low dan surat-surat Arab Saudi yang tidak disahkan menunjukkan tertuduh sengaja membutakan matanya (wilful blindness). Kemasukan dana yang besar, RM155 juta, RM304 juta dan RM602 juta ke dalam akaun peribadinya memerlukan penelitian.
“Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau mempunyai tanggungjawab untuk mengesahkannya tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian. Ini bukan sesuatu yang tidak disengajakan tetapi ini merupakan dengan sengaja mengelak daripada berbuat apa-apa. Pembelaan tidak tahu atau jahil (ignorance) tidak boleh dipertahankan.
“Tertuduh bukan mangsa yang benar-benar tidak tahu apa-apa tetapi penerima manfaat yang mengelak daripada menjawab semua persoalan kerana jawapan itu akan menjeratnya,”kata Kamal Baharin.
Prosiding yang didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN









