PETALING JAYA: Ketiadaan hukuman sebat dalam undang-undang beberapa negara menjadi antara faktor yang menyukarkan proses ekstradisi terhadap Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan dan peguamnya, Mansoor Saat yang kini dipercayai berada di luar negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun terdapat kerjasama antarabangsa termasuk menerusi Polis Antarabangsa (Interpol), sesetengah negara tidak dapat memberi bantuan bagi mengesan atau mengekstradisi pesalah ke Malaysia disebabkan perbezaan perundangan tersebut.
“Ada negara yang tidak dapat memberi bantuan walaupun melalui Interpol kerana undang-undang kita melibatkan hukuman sebat.
“Apabila negara berkenaan tidak mempunyai hukuman sebat, mereka tidak boleh memberi bantuan dari segi ekstradisi pesalah ke negara kita,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Dialog Memperkukuh Intergriti Bersama: Kerjasama Awam-Swasta untuk Strategi Anti-Rasuah Yang Inklusif di Sunway Resort Hotel di sini, hari ini.
Sebelum ini, Azam mengesahkan siasatan terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya telah selesai dan pihaknya kini menunggu proses seterusnya selepas usaha pengesanan dilakukan.
Menurut beliau, Muhammad Adlan dan Mansoor masih berada di luar negara dan proses pengesanan terhadap mereka sedang dijalankan dengan bantuan beberapa agensi antarabangsa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Berdasarkan kepada rangkaian kerjasama antarabangsa, terutama sekali dengan penglibatan KDN, pengesanan terhadap kedua-dua individu berkenaan masih diteruskan,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan SPRM hanya boleh membekukan aset Muhammad Adlan di luar negara sekiranya ia mempunyai kaitan langsung dengan siasatan yang dijalankan terhadapnya.
Azam berkata, usaha mengesan aset di luar negara bukan satu proses mudah kerana memerlukan kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa. – UTUSAN









