PETALING JAYA: Penubuhan jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya tidak memerlukan penyertaan wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, tiada keperluan wakil SPRM dan PDRM dalam jawatankuasa berkenaan kerana termanya tidak boleh terlalu besar dan isu yang melibatkan proses Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bukan sesuatu yang jawatankuasa tersebut boleh menyiasat.
Katanya, siasatan jawatankuasa bebas yang diketuai Tun Md Raus Sharif hanya terhad kepada proses dalaman FAM serta isu berkaitan bola sepak selain komposisi yang bakal dipilih oleh bekas Ketua Hakim Negara itu juga bergantung sepenuhnya kepada terma rujukan (skop) jawatankuasa.
“Jika terma (skop) hanya untuk meneliti proses FAM, kemungkinan tiada keperluan pihak penguatkuasa seperti SPRM atau PDRM kerana terma jawatankuasa tidak boleh terlalu besar kerana isu yang melibatkan proses JPN, ia bukan sesuatu yang jawatankuasa ini boleh menyiasat.
“Lantikan Md Raus sebagai pengerusi jawatankuasa bebas pada pandangan saya adalah lantikan yang sesuai kerana beliau nampak bebas dari apa-apa kaitan dengan FAM dan bekas Ketua Hakim Negara itu juga berpengalaman sebagai Pengerusi Suruhanjaya Siasatan diRaja Batu Puteh pada 2024.
“Namun, wujud kebimbangan tentang komposisi pakar yang pelbagai untuk menyiasat serta memilih ahli bebas bukan sahaja bebas daripada sebarang kaitan dengan FAM tetapi cukup bebas untuk mempersoalkan Pengerusi itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini FAM dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Md Raus sebagai pengerusi jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dihukum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam kenyataan sama, FAM mengulangi pendirian untuk tidak melibatkan mana-mana individu daripada dalam badan induk itu bagi memastikan proses siasatan dilaksanakan secara adil, telus dan professional selain turut mengambil tindakan menggantung Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman.
Mengulas lanjut, Nik Erman berkata, bagi memastikan siasatan secara terperinci dapat dilakukan, jawatankuasa bebas juga perlu menyatakan dengan jelas terma rujukan siasatan kerana ini akan menentukan sejauh mana skop dan kuasa jawatankuasa ini dibentuk.
“Kita juga perlu tahu diakhir siasatan nanti, apa yang akan dilakukan oleh FAM apabila mereka memperoleh keputusan jawatankuasa ini? Adakah keputusan akan dikeluarkan sepenuhnya kepada orang ramai atau sebaliknya.
“Bagi saya, keputusan jawatankuasa ini wajar dikeluarkan sepenuhnya kepada umum kerana ia melibatkan kepentingan nasional dan kredibiliti FAM. Ia bukan hanya fault finding (pengesanan kesalahan), tetapi diperlukan untuk memperbaiki dan memperbetulkan tadbir urus FAM dan proses pemain-pemain negara,” katanya. – UTUSAN










