PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) akan melakukan penambahbaikan dalam modul kursus haji bermula musim tahun hadapan dengan menambah aktiviti bersifat ketahanan fizikal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perkara itu bagi memastikan semua bakal jemaah haji Malaysia tidak ada masalah daripada segi kesihatan dan kecerdasan tubuh badan sekali gus memenuhi syarat kesihatan yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.
“Pengurusan TH memang telah merancang untuk melaksanakan aktiviti untuk jemaah haji tahun depan. Aktiviti seperti berjalan santai (brisk walk) akan dilaksana selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Mohd. Na’im, Kursus Asas Haji telah bermula pada 3 Oktober lalu sehingga 11 Januari depan melibatkan 13 siri di 204 lokasi.
Katanya, peserta kursus tidak dihadkan kepada bakal haji yang terpilih pada tahun semasa bahkan penyertaan dibuka kepada orang ramai yang berminat mempelajari hal ehwal ibadat haji dan umrah.
“Kursus Intensif Haji pula dijadualkan bermula pada 9 Januari dan 8 Februari 2026 di 107 lokasi dengan memfokuskan kepada pelaksanaan haji tamattu’ secara teori dan praktikal.
“Semasa kursus, penekanan turut diberikan kepada aspek praktikal ibadat haji dan umrah serta ulang kaji ibadat. Selain berkenaan ibadat haji, modul pembelajaran juga menekankan penjagaan kesihatan dan pengurusan haji di tanah air dan Tanah Suci,” katanya.
Pada masa sama, Kursus Perdana Haji pula dijadualkan pada 27 Mac hingga 12 April 2026 di 21 lokasi bakal terlibat dengan pelaksanaan secara praktikal.
Penekanan yang diberikan semasa kursus ini lebih kepada praktikal ibadat haji dan dalam kelompok jemaah yang lebih ramai. Ia melibatkan aktiviti tawaf, sa’ie, bermabit dan melontar pada waktu malam.
Sebelum ini Kerajaan Arab Saudi memperketatkan beberapa syarat baharu kepada para jemaah haji tahun hadapan (musim 1447H/2026M) bagi melancarkan perjalanan ibadah rukun Islam kelima itu.
Antara syarat baharu yang ditetapkan ialah melarang jemaah yang menghidap penyakit kronik tidak terkawal atau mengalami penyakit berjangkit termasuk yang tidak mampu melaksanakan ibadah secara kendiri atau memerlukan bantuan orang lain bagi sebarang aktiviti dan pergerakan.
TH berkata, syarat berkenaan perlu dipatuhi oleh semua bakal jemaah sebelum layak memperoleh visa haji daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
Katanya, antara syarat utama yang ditetapkan adalaj jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit atau penyakit kronik yang tidak terkawal serta berupaya melaksanakan ibadah haji secara kendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain. – UTUSAN










