PERANCANGAN Sumber Perusahaan (ERP) ialah sistem perisian bersepadu yang mengurus operasi utama sesebuah organisasi seperti kewangan, sumber manusia, jualan dan rantaian bekalan.
Dengan menyatukan pelbagai fungsi dalam satu platform, ERP meningkatkan kecekapan, mengurangkan kesilapan dan memperkukuh kerjasama antara jabatan.
Kini, kecerdasan buatan (AI) menjadi pelengkap penting kepada ERP, menjadikannya lebih pintar dan efisien. AI membolehkan automasi proses, analisis mendalam serta keputusan pantas berasaskan data masa nyata. Gabungan ini melahirkan sistem ERP generasi baharu yang mampu meramalkan masalah, menyesuaikan operasi secara automatik dan menjimatkan kos.
Syarikat global seperti Microsoft, SAP dan Oracle memperkenalkan pelbagai aplikasi ERP berkuasa AI. Microsoft Copilot, SAP Joule dan Oracle AI masing-masing meningkatkan automasi kewangan, ramalan rantaian bekalan serta analitik sumber manusia.
Teknologi ini kini bukan lagi kemewahan tetapi keperluan memandangkan hampir semua sistem ERP utama dijangka dilengkapi ciri AI.
Dalam sektor pembuatan, ERP berkuasa AI membolehkan pemantauan masa nyata, penyelenggaraan ramalan dan pemeriksaan kualiti automatik. Kajian menunjukkan teknologi ini mampu meningkatkan kecekapan operasi antara 30 hingga 40 peratus. Ejen AI yang mampu menyesuaikan jadual pengeluaran apabila berlaku gangguan membuktikan potensinya dalam mengurangkan pembaziran serta meningkatkan kualiti produk.
Manfaat ERP AI bukan sahaja meningkatkan produktiviti tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Di Malaysia, ia seiring dengan aspirasi dasar Industry4WRD dan MyDIGITAL dalam membentuk ekosistem automasi pintar. Teknologi ini juga berpotensi mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi seperti jurutera data, penganalisis ramalan dan penyelia automasi kilang.
Namun, penerapan ERP AI memerlukan pelaburan besar, kepakaran teknikal serta pengurusan perubahan organisasi. Isu keselamatan data dan kualiti maklumat turut menjadi cabaran utama.
Secara keseluruhannya, gabungan ERP dan AI bukan lagi pilihan tetapi keperluan strategik dalam era digital. Ia bukan sekadar sistem pengurusan tetapi pemacu transformasi perniagaan dan daya saing negara menuju ekonomi berasaskan inovasi.-UTUSAN
DR. NOOR ZURAIDIN MOHD SAFAR
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










