PETALING JAYA: Selangor FC tidak menganggap bekalan empat gol menjadi kelebihan besar buat pasukannya menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Dalam aksi pertama, skuad kendalian Christophe Gamel melakar kejutan apabila membelasah Negeris Sembilan 4-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sekali gus meletakkan gergasi Merah sebagai pasukan pilihan yang akan lolos ke separuh akhir.
Bagaimanapun, Gamel lebih selesa untuk memastikan anak buahnya mempamerkan prestasi terbaik di laman sendiri bagi mengelak kejutan yang diidam-idamkan oleh Negeri Sembilan yang dibimbing oleh bekas jurulatih The Red Giants, Mohd. Nidzam Jamil.
Menurut Gamel, walaupun mereka selesa dengan kemenangan 4-0 pada aksi pertama, masih terlalu awal untuk mendabik dada atau menganggap tiket ke separuh akhir sudah dalam genggaman Selangor FC.
Kata pengendali sementara Selangor FC itu, dunia bola sepak penuh dengan kejutan dan segalanya boleh berubah dalam tempoh 90 minit, justeru fokus serta disiplin pasukan perlu dikekalkan sepanjang perlawanan.
“Kita tidak boleh terlalu yakin. Kita pernah lihat banyak kebangkitan besar berlaku di seluruh dunia. Jadi, kami akan turun dengan mentaliti sama seperti perlawanan pertama fokus, berdisiplin dan bekerja keras untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Tambah Gamel, jadual padat dengan lima perlawanan dalam tempoh singkat turut memaksa beliau mempertimbangkan aspek penggiliran pemain bagi mengekalkan kecergasan skuadnya.
“Saya perlu melakukan sedikit penggiliran dan setiap pemain yang diturunkan mesti bertanggungjawab mengekalkan momentum pasukan. Dalam pusingan pertama, kami berjaya melakukannya dengan baik, dan kini masa untuk memastikan kesinambungan prestasi itu,” katanya.
Gamel turut mengingatkan anak buahnya tidak leka dengan kelebihan yang dimiliki kerana aksi di MBPJ nanti dijangka lebih sengit apabila Negeri Sembilan tampil dengan semangat baharu untuk mencari kebangkitan.
“Kita kena bermain lebih baik daripada perlawanan pertama kerana mungkin kali ini mereka akan lebih agresif. Kita mungkin tidak dapat banyak peluang menjaringkan gol, jadi apa saja peluang yang ada mesti dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.
Pada masa sama, jurulatih dari Perancis itu turut mengakui perlawanan di MBPJ akan menjadi medan penting untuk menilai tahap konsistensi Selangor selepas melalui beberapa aksi liga yang mencabar sebelum ini. – UTUSAN










