Hati-hati semasa musim hujan

Hati-hati semasa musim hujan

ELAKKAN bermain banjir kerana boleh mengundang risiko kesihatan dan nyawa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini merupakan musim hujan dan akibat hujan yang turun tanpa henti, kejadian banjir tidak dapat dielakkan.

Banjir berlaku di sana sini. Paling ketara di tiga negeri utara Semenanjung, iaitu Perlis, Kedah dan Perak. Ada tempat yang sudah membuka Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Dalam situasi sebegini, semua pihak perlu lebih berhati-hati.

Sementara ibu bapa hendaklah sentiasa mengawasi dan menasihatkan anak-anak supaya tidak bermain banjir.

Bermain banjir boleh mengundang pelbagai risiko. Jika terlalu asyik, mereka mungkin tanpa sedar hanyut ke kawasan air yang dalam, sekali gus berisiko untuk tenggelam.

Disamping itu, bermain banjir juga boleh membawa kesan lain termasuk terdedah gigitan binatang berbisa seperti ular dan lipan.

Banjir tidak sebersih air dalam kolam mandi yang dijaga. Ia sudah pasti bercampur dengan pelbagai kotoran seperti najis manusia dan haiwan, bangkai-bangkai binatang atau tumpahan minyak.

Jika kanak-kanak asyik bermain dalam banjir, tidak mustahil mereka akan tersedut air tersebut. Ini memberi kesan bahaya pada aspek kesihatan.

Sementara itu, bagi mereka yang ditempatkan PPS hendaklah bijak menyesuaikan diri ketika berada dalam himpunan ramai.

Jika diberi makanan, terimalah dengan hati terbuka tanpa banyak rungutan tentang rasa atau kualitinya. Yang penting, bersyukurlah atas rezeki yang ada dan atas perlindungan yang diberikan, sekurang-kurangnya kini berada di tempat yang lebih selamat selepas rumah ditenggelami banjir.

Bagi umat Islam, jangan sesekali mengabaikan solat lima waktu. Solat bukan sahaja menunaikan kewajipan tetapi juga menjadi ruang untuk menzahirkan rasa syukur dan berdoa terutama ketika sujud, agar bencana banjir segera berakhir dan kehidupan kembali tenang.-UTUSAN

RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×