PETALING JAYA: MBSB Investment Bank Berhad (MBSB IB) mengunjurkan pelaksanaan cukai karbon yang dijangka bermula tahun depan berpotensi mengutip purata RM2.1 bilion cukai setahun pada fasa pertama pelaksanaan (2026-2030).
Bank pelaburan berkata, berdasarkan andaian kadar cukai permulaan RM10 bagi setiap tan pelepasan karbon dioksida, hasil tambahan sebanyak RM2.1 bilion setahun daripada cukai karbon akan membantu memperbaiki kedudukan fiskal kerajaan.
Katanya, ini berpotensi mengurangkan defisit fiskal sekitar -0.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Dengan kutipan yang dianggarkan meningkat kepada sehingga RM5 bilion setahun dalam fasa kedua (selepas 2030), pengurangan defisit fiskal boleh meningkat lagi kepada sekitar -0.2 peratus daripada KDNK setahun antara tahun 2031 hingga 2035.
“Oleh itu, kami menganggarkan pengurangan beransur-ansur defisit fiskal daripada -3.5 peratus KDNK pada 2026 (berdasarkan anggaran Kementerian Kewangan bagi Belanjawan 2026) kepada sekitar -2.3 peratus KDNK menjelang 2035, hanya mengambil kira impak kutipan cukai karbon,” katanya dalam nota penyelidikan.
MBSB berkata, kutipan cukai karbon daripada tiga sektor utama iaitu tenaga, besi dan keluli dijangka menjadi faktor positif dalam menyokong sasaran Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada kurang daripada -3.0 peratus KDNK menjelang tahun 2030.
“Defisit yang lebih kecil juga akan mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman baharu bagi membiayai perbelanjaan pembangunan,” ujarnya.
MBSB IB berkata, pihaknya yakin kerajaan akan meneliti beberapa isu utama dalam pelaksanaan cukai karbon.
Jelasnya, kadar cukai permulaan perlu direka bentuk agar tidak menyebabkan kejutan ekonomi yang besar kepada tiga sektor utama dan ekonomi secara keseluruhan.
“Kos tambahan ini akan menjejaskan keuntungan syarikat. Kenaikan kadar secara berperingkat, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, akan membantu memudahkan peralihan dan penyesuaian terhadap sistem cukai baharu.
“Selain itu, kami bersetuju dengan rancangan untuk memulakan pelaksanaan cukai karbon terhadap sektor yang banyak bergantung kepada tenaga berasaskan bahan api fosil dan menyumbang kepada pelepasan GHG yang tinggi.
“Namun begitu,, mengenakan cukai karbon kepada industri hiliran yang menggunakan tenaga daripada sektor tenaga akan menyebabkan percukaian berganda.
“Pertimbangan rapi perlu diberikan untuk mengelak daripada mengenakan cukai tambahan kepada pengguna tenaga selain cukai yang telah dikenakan kepada pengeluar tenaga,” katanya.
Bank pelaburan berkata, dari segi reka bentuk dasar, rangka kerja harga karbon perlu menetapkan sempadan yang jelas antara pengeluar (upstream) dan pengguna (downstream) bagi mengelak beban cukai bertindih, mengekalkan ketelusan harga dan menyokong peralihan yang lebih cekap kepada sumber tenaga yang lebih bersih.
“Ini boleh termasuk membenarkan syarikat menggunakan kredit karbon untuk membayar atau mengimbangi sebahagian daripada liabiliti cukai karbon mereka, sekali gus memberi fleksibiliti sambil mengekalkan insentif untuk pengurangan pelepasan.
“Walau bagaimanapun, ini memerlukan masa yang mencukupi untuk membangunkan sistem, rangka kerja dan kapasiti institusi yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar dan berkesan,” jelasnya.
Tambahnya, pelaksanaan cukai karbon perlu diselaraskan dengan aspirasi iklim Malaysia yang lebih luas, termasuk komitmen pengurangan karbon negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Katanya, rangka kerja harga karbon yang direka bentuk dengan baik boleh menjadi alat dasar yang berkesan untuk menggalakkan pengurangan pelepasan, mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu, dan menggalakkan pelaburan dalam teknologi rendah karbon. – UTUSAN










