LONDON: Pengurus Chelsea Enzo Maresca, tidak mampu menyembunyikan rasa kecewa selepas anak-anak buahnya dikejutkan pasukan pendatang baharu, Sunderland yang mencipta kemenangan dramatik 2-1 di Stamford Bridge,semalam.
Gol kemenangan pelawat hadir pada masa kecederaan menerusi pemain gantian, Chemsdine Talbi, sekali gus menamatkan rentetan empat kemenangan berturut-turut The Blues dalam semua kejohanan.
Kekalahan itu cukup memalukan buat Chelsea, lebih-lebih lagi selepas mereka menumbangkan juara bertahan, Liverpool, di gelanggang sama minggu lalu hasil jaringan lewat pemain muda sensasi, Estevao Willian.
Maresca mengakui sukar menerima hakikat bagaimana pasukannya mampu menundukkan pasukan gergasi seperti Liverpool, namun tumbang di tangan Sunderland yang baru kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
“Kami tidak cukup bagus dan dalam EPL, akibatnya boleh jadi buruk.Kalau mahu bersaing di kelompok teratas, kami perlu konsisten.
“Menang empat kali kemudian tewas begini menunjukkan jurang prestasi kami terlalu besar,” tegas Maresca.
Tambahnya, kegagalan mengekalkan momentum kemenangan menjadi tanda amaran buat Chelsea yang kini berdepan tekanan untuk terus berada dalam kelompok empat teratas.
Chelsea bermula garang apabila Alejandro Garnacho meledak gol seawal minit keempat hasil gerakan bersama Pedro Neto, namun Sunderland bangkit melalui jaringan Wilson Isidor sebelum Talbi menamatkan malam penuh derita buat penyokong tuan rumah.
Walaupun menguasai perlawanan, The Blues dilihat tumpul di depan gol, manakala barisan pertahanan pula goyah setiap kali diserang.
“Kami tidak mencipta banyak peluang dan gagal menang bola kedua. Dalam liga ini, kalau tidak beraksi 100 peratus, anda akan dihukum,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN










