Luka lutut kiri jangan tampal koyok lutut kanan

Luka lutut kiri jangan tampal koyok lutut kanan

MENYEKAT penggunaan media sosial dalam kalangan pelajar boleh membantu membendung masalah sosial melibatkan golongan tersebut. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Itu hanya ungkapan yang tidak termasuk dalam perbidalan Melayu tetapi menghuraikan cara kita merawat luka guna koyok atau mudarat menggunakan kaedah tampalan.

Koyok ialah tampalan ubat berbentuk pelekat yang diletakkan pada kulit untuk melegakan sakit otot, sendi, atau lenguh badan.

Apa pun lukanya, merawat secara tampalan hanya satu kaedah dengan harapan dapat menyembuhkan, kalau dirawat pada luka yang betul pada badan.

Demikian kita perlu bertindak balas apabila berdepan penyakit atau musibah fizikal atau sosial, dan perlu sepantas mungkin, justeru penyakit sosial yang kita tanggung sekarang bukan sahaja perlu dirawat segera tetapi kena pada tempatnya .

Penyakit yang saya maksudkan adalah penyakit sosial yang lukanya kian nampak dan membimbangkan komuniti.

Sejak kebelakangan ini, masyarakat kita dikejutkan dengan kes salah laku murid yang tidak pernah kita jangka. Dulu kes rogol melibatkan dewasa dan murid sudah cukup membimbangkan tetapi sekarang melibatkan sesama pelajar, berlaku di sekolah pula.

Kes pembunuhan di sekolah apabila berlaku di negara Barat satu ketika dahulu , terus kita hukum, bahawa tamadun Barat sudah keruntuhan nilai. Hari ini kes sudah kita saksikan di institusi pendidikan sekolah kita.

“Apa sudah jadi sekolah kita,” kata seorang bekas ahli politik tempatan yang pernah jadi menteri.

Untuk berlaku adil, kita tidak boleh menyalahkan bulat bulat Kementerian Pendidikan. Sudah banyak tudingan jari dihalakan kepada kementerian yang paling tinggi menerima peruntukan Belanjawan 2026 ini.

Rumah sebenarnya institusi pendidikan pertama yang menerima pelajar ini dan gurunya sudah tentulah ibu bapa masing-masing.

Ibu bapa mempunyai banyak masa lapang bersama ‘anak murid mereka’ manakala sekolah rasmi mereka hanya mengambil masa enam jam sehari bersama pelajar tersebut.

Bermaksud pada peringkat pertama, ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mereka tanpa berharap seratus peratus kepada sekolah rasmi.

Isunya siapa yang perlu dipertanggungjawab dengan perlakuan jenayah yang berlaku melibatkan kes kes yang berlaku sekarang.

Kita perlu mengenal pasti punca masalah ini sama ada di rumah atau di sekolah sebelum mencari penawar mujarab.

Dua institusi tersebut boleh sahaja dipersalahkan, tapi koyok harus ditampal di kawasan mana?

Saya melihat ada ‘institusi’ lain yang mengajar murid kita ini kepada ilmu yang belum sewajarnya mereka peroleh.

Ilmu itulah yang mendorong mereka melakukannya di sekolah sekolah yang kita katakan jenayah sekarang ini.

Di mana mereka belajar perlakuan seks, tikam, bunuh dan berpotensi melakukan apa sahaja hasil belajar daripada ‘sekolah ini kalau bukan media sosial dan dunia siber? Dan entah apa lagi yang mereka pelajari jika tidak ada usaha menyekat dan membendung gejala tersebut

Seperti dijangka, pelbagai pihak mula menyalahkan Kementerian Pendidikan sedangkan kita perlu ingat kementerian berkenaan menjaga sekurang-kurangnya lima juta murid, 5,000 buah sekolah dan kira-kira 400,000 hingga setengah juta guru.

Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berharap satu langkah proaktif di pihak Kementerian Pendidikan bagi membendung gejala seperti ini berulang dan sekolah wajar menjadi zon selamat daripada salah laku jenayah.

iGuru juga memandang serius isu ini dan berharap satu siasatan yang adil dan telus bagi memastikan pelaku dikenakan hukuman yang setimpal dan mangsa mendapat pembelaan yang sewajarnya serta tahap keselamatan sekolah melibatkan guru dan warga pendidik ditingkatkan.

Itu gesaan-gesaan yang biasa kita dengar yang senada dengan pihak lain.

i-Guru menggesa semua pihak khususnya guru dan ibu bapa agar membuka mata dan minda terhadap keutamaan pendidikan adab dan nilai kepada anak-anak sejak dari awal lagi mereka berada di institusi pendidikan.

Kepada iGuru, pendidikan bukan satu bentuk projek penswastaan tetapi ia adalah tanggungjawab bersama melibatkan sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti. Tanggungjawab asas pendidikan terletak ke atas bahu kedua ibu bapa sejajar dengan gesaan hadis Nabi SAW yang bermaksud :

“Setiap anak dilahirkan secara fitrah, maka kedua ibu bapalah yang mencorakkannya”.

Proses ta’did dan ta’lim wajar disuburkan semula agar pendidikan manusiawi dijelmakan dalam pembentukan karektor murid selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Ini bermakna roh pendidikan itu berteraskan nilai dan adab. Tanpa nilai dan adab, pendidikan menjadi kaku dan kontang, justeru melahirkan manusia- manusia robot.

Banyak betul gesaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan tersebut, termasuklah mencadangkan kementerian supaya kurikulum pendidikan diperkasa ke arah pembentukan nilai dan adab serta menyuburkan etika manusiawi berpaksikan hikmah dan rahmah dalam berdepan cabaran masa kini terutama dunia digital, gajet dan rempuhan teknologi moden.

Presiden iGuru, Mohd. Azizee Hassan menggesa guru supaya kembali menjiwai jiwa sebagai seorang Daie-Murobbi dalam usaha menyampaikan ilmu dan mendidik murid- murid serta tidak sekadar melihat pencapaian akademik semata- mata.

Apabila guru sudah tidak berperanan mendidik sebagai pendidik unggul ar- Rasul SAW maka lahirkan generasi yang bijak tetapi kering adab dan nilai. Pendidikan tidak wajar dijadikan barangan komoditi dan nilai komersial semata- mata tetapi perlu diangkat sebagai usaha membangun sebuah peradaban.

Bagi saya tidak ada yang menarik dengan gesaan NGO pendidikan berkenaan melainkan nasihat seorang doktor berpesan itu dan ini kepada pesakit supaya berpantang makan.

Yang tidak disebut adalah apa peranan NGO itu sendiri membantu komuniti pendidikan dan bagaimana mengatasi masalah tersebut secara spesifik, bukan kenyataan retorik.

Satu lagi kenyataan NGO pendidikan yang saya kurang bersetuju ialah Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia.

Presidennya Mohamad Zapawi Mamat berpendapat kes-kes tersebut menunjukkan bahawa sistem sokongan terhadap pelajar sama ada di sekolah, rumah, atau masyarakat semakin longgar. Sama seperti pihak lain, NGO berkenaan berkata, penglibatan pelajar sekolah dalam kes jenayah kebelakangan ini amat membimbangkan.

Cuma Mohamad Zapawi berkata, mangsa kes gangguan seksual pula perlu ada tindakan susulan seperti sesi kaunseling yang berkala dan mengambil berat akan trauma yang dihadapi oleh mangsa.
“Mangsa memerlukan masa yang panjang untuk pulih dan memerlukan perhatian daripada semua pihak terutama ibu bapa, keluarga dan agensi pendidikan,“ ujarnya.

Akhirnya tudinglah jari kepada media sosial yang menjadi guru ketiga kepada murid atau pelajar ini.

Cadangan menyekat penggunaan media sosial kepada mereka yang berumur kurang 13 tahun dan mesti berumur 16 tahun ke atas baharulah dibenarkan menggunakan telefon pintar mungkin boleh diguna pakai.Apa tah lagi dilaporkan bahawa rakyat Malaysia secara purata meluangkan masa lebih kurang 2 jam 46 minit setiap hari menggunakan media sosial.

Dan penggunaan media sosial berlaku secara meluas dalam kalangan pelajar wajar dibendung. Maka, kita berharap ada usaha mengurangkan masa penggunaan media sosial yang kini menjadi faktor pencetus kepada perlakuan jenayah dalam kalangan orang muda khususnya pelajar.

Kita perlu hentikan menyalahkan pihak tertentu sahaja apabila kejadian seperti ini menimpa kita. Bagi penganalis jenayah Kamal Affandi Hashim pula masyarakat tidak perlu terkejut sangat dengan kejadian tersebut kerana kes melibatkan pelajar menikam pernah berlaku pada 1997 dan 1998.

 

Dalam pada itu menyekat masa penggunaan media sosial bukan jaminan kepada membendung usaha ini kerana kes kes seperti yang dilaporkan boleh sahaja berlaku kepada mereka yang tidak memiliki telefon bimbit atau tiada capaian Internet di kampung kampung. Satu pendekatan tidak akan mengatasi semua masalah sebab menekan satu butang atau suis tidak mungkin menyalakan semua lampu serentak.

Tidak ada satu penyelesaian tuntas untuk semua masalah.

Namun pada saya biarlah koyok ditampal pada luka atau penyakit sebenar. Kalau tidak, berdasarkan analogi itu, penyakit tidak akan sembuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×