Jaga adab, elak riak di media sosial

Jaga adab, elak riak di media sosial

HASWADI HANAPI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA sosial hari ini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat. Ia bukan sahaja menjadi ruang komunikasi, tetapi turut menjadi tempat berkongsi kisah peribadi, mempamerkan gaya hidup, menyebarkan ilmu dan mencari rezeki.

Namun, di sebalik kepesatan teknologi ini, timbul persoalan tentang adab dan batas dalam berkongsi, serta kesan terhadap hati dan hubungan sesama manusia.

Berkongsi pandangan bersama Mingguan Malaysia, Imam 1 Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, Imam Haswadi Hanapi, 33, berkata, media sosial boleh menjadi alat menyampaikan dakwah yang baik, tetapi ia juga boleh menjerumuskan kepada sifat mazmumah seperti riak dan takbur jika tidak dijaga niat dan tujuannya.

“Hari ini ramai yang berkongsi di media sosial. Jika muat naik status berkenaan perkara bermanfaat, beri panduan kepada orang ramai, memberi inspirasi, itu bagus dan digalakkan.

“Namun begitu, kita juga perlu melihat konteks sesuatu perkongsian, terutama yang melibatkan gaya hidup mewah, makanan sedap-sedap, atau percutian.

“Apa pun yang ingin dilakukan, setiap perkara itu bermula dengan niat. Kalau niat itu untuk menunjuk-nunjuk, bermegah-megah hingga menjadi riak, itu kena berjaga-jaga dan sepatutnya ia dielakkan,” katanya ketika ditemui di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Haswadi berkata, lebih membimbangkan, perkongsian seperti itu boleh membuka ruang kepada hasad bagi orang yang melihat dan penyakit ain bagi orang yang mempamerkan kemewahan.

“Ada hadis mengikut riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjangkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah. (Riwayat Muslim)

“Ain bukan sekadar pandangan mata, tetapi kesan daripada rasa takjub,rasa teruja,hasad atau iri hati seseorang terhadap apa yang dilihat, dan ini boleh membawa mudarat kepada orang yang dipandang,” ujarnya.

Haswadi menambah, dalam Islam, adab memuji juga tidak boleh diambil ringan.

Imam Haswadi Hanapi
Usia: 33 tahun
Asal: Tumpat, Kelantan
Pekerjaan: Guru Sekolah Kebangsaan Subang
Pendidikan: Sarjana Muda Usuluddin dan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia
Diploma Pendidikan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

“Kita hendak puji itu ada caranya, seperti mulakan pujian dengan memuji Allah atau berkata masya-Allah atau mendoakan dengan berkata Allahumma baarik lahu yang bermaksud ya Allah berkatilah dia.

“Contohnya, jika kita ziarah bayi, bila kita puji bayi tersebut memulakan dengan memuji Allah atau doa insya-Allah bayi itu akan dilindungi daripada penyakit ain,” katanya.

Menurut beliau, masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam berkongsi perkara peribadi, terutama berkaitan kemewahan dan keselesaan hidup.

“Contoh wanita yang baru membeli gelang emas, jadi kalau ada niat nak kongsi gambar, dia perlu fikir dahulu,perlu dielakkan bagi tujuan menutup pintu-pintu kerosakan seperti unsur riak dan unsur mendedahkan perhiasan (tabarruj),” katanya.

Beliau turut menyentuh tentang adab dalam bab makanan, yang sering dijadikan kandungan media sosial oleh ramai.

“Bab makan pun ada adabnya, bila makanan sampai di meja, ada yang ambil gambar dan muat naik dalam media sosial macam-macam orang ada termasuk yang miskin,boleh menimbulkan rasa sedih kepada golongan yang tidak berkemampuan merasainya,” katanya.

Namun, beliau turut menjelaskan konteks perkongsian itu penting. Jika perkongsian dibuat sekadar mahu menyimpan kenangan, atau dalam konteks kerja, seperti berniaga, ia tidak menjadi masalah.

“Begitu juga bagi pempengaruh atau influencer yang menjadikan media sosial sebagai punca rezeki, selagi mana ia tidak bercanggah dengan adab dan akhlak Islam, ia dibenarkan.

“Namun semuanya berbalik kepada niat kita. Segalanya juga berbalik kepada ilmu, adab dan akhlak,” katanya.

Imam Haswadi turut menzahirkan kebimbangannya terhadap gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja, yang banyak dirosakkan oleh pengaruh negatif media sosial.

Beliau mengingatkan sabda Rasulullah SAW: “Islam datang dalam keadaan asing dan akan berakhir dengan asing. Beruntunglah orang yang terasing,”.

“Ini merujuk kepada golongan yang tetap teguh berpegang kepada Islam walaupun dalam suasana masyarakat yang jauh daripada syariat dan berpegang dengan agama seperti menggenggam bara api. Semoga kita semua istiqamah dan berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×