Banjir: Tinggal rumah 'tunggang-langgang' ketika diminta berpindah

Banjir: Tinggal rumah ‘tunggang-langgang’ ketika diminta berpindah

MOHAMAD Abdul Hamid (duduk, dua dari kanan) ketika meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Tan Sri Awang Had Salleh di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : “Masa itu air sudah naik sampai paras lutut dan kami memang tak sempat ‘prepare’ (siapkan) apa-apa sebelum diarah pindah. Rumah pun dibiar tunggang-langgang macam itu sahaja.”

Itu kata Nurul Nazirah Azizan, 31, mangsa banjir dari Kampung Pulau Betong yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh di sini.

Nurul Nazirah berkata, ini kali pertama dia dan suaminya, Mohd. Amirul Anuar, 31, terpaksa berpindah ke PPS sejak tinggal di rumah yang disewa itu hampir tiga tahun yang lalu.

“Mujur sempat ubah motor dan kereta ke tempat selamat. Cuma barang-barang lain dalam rumah seperti perabot dan barang elektrik tak sempat nak selamat. Sempat tutup plug sahaja.

“Ini hari kedua kami di sini. Harap esok lusa boleh baliklah. Banyak benda nak kena bersihkan,” kata wanita itu ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid hadir meninjau keadaan mangsa banjir di PPS berkenaan bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Kolonel (PA), Lokman Hakim Abdul Rahman serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Rozita Ibrahim.

Sempena tinjauan itu juga, Mohamad sempat menyantuni kira-kira 31 mangsa daripada sembilan buah keluarga yang masih ditempatkan di situ dan menyampaikan sumbangan berupa wang ihsan daripada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) dan barang keperluan lain.

Dalam pada itu, Lokman Hakim memberitahu, pihaknya menempatkan seramai 100 anggota dan pegawai mengikut zon di setiap daerah di negeri ini bagi menghadapi banjir dengan tumpuan diberi kepada lokasi ‘hotspot’ iaitu kawasan yang sering dinaiki air.

“Kita pantau situasi semasa termasuk berkaitan trend air (pasang atau surut) dan buat laporan kepada D.O (pegawai daerah) di daerah-daerah yang terlibat.

“Berdasarkan pemerhatian kita, banjir kali ini mungkin berlaku disebabkan pertembungan antara air pasang besar dengan fenomena hujan lebat,” kata beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×