Lombok: Antara kemajuan pelancongan atau hilang jati diri

Lombok: Antara kemajuan pelancongan atau hilang jati diri

GUNUNG Rinjani yang terletak di Taman Negara Gunung Rinjani antara tarikan utama di Lombok, Indonesia. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Lombok giat dibangunkan sebagai destinasi pelancongan baharu setanding Bali, penduduk tempatan bimbang budaya, alam semula jadi dan kehidupan mereka akan terpinggir oleh arus pembangunan pesat.

Bagi Damar, 39, seorang jurupandu luncur ombak terkenal di pulau Lombok, kehidupan hari ini jauh berbeza dari zaman kecilnya. Dengan kefasihan berbahasa Inggeris dan gaya ramah melayan pelancong asing, tiada siapa menyangka bahawa suatu ketika dahulu dia amat takut kepada orang luar.

“Ketika berusia tujuh atau sepuluh tahun, saya akan menangis malah terkencing ketakutan setiap kali melihat orang kulit putih,” katanya sambil ketawa kecil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, ketakutan itu lenyap apabila Lombok, pulau yang terletak di Nusa Tenggara Barat, Indonesia kini mula menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Pulau tersebut menawarkan pantai biru jernih dan pemandangan menakjubkan seperti Bali, tetapi tanpa kesesakan yang merimaskan.

Gunung Rinjani pula menjadi destinasi kegemaran pendaki. Banyak laman pelancongan antarabangsa menggambarkan Lombok sebagai ‘permata tersembunyi’ dan ‘belum tercemar’.

Menyedari potensi besar itu, kerajaan Indonesia kini berusaha menjadikan Lombok sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa setanding Bali.

Usaha yang dinamakan sebagai ‘Bali-fikasi’ dengan bertujuan menjadikan Lombok sebagai ‘Bali baharu’ namun bagi penduduk tempatan, harapan itu datang bersama dengan kebimbangan yang besar.
Pembangunan besar, rakyat tersisih

Wilayah Mandalika di selatan pulau Lombok kini menjadi pusat tumpuan projek pelancongan mega. Kawasan pantai yang dahulunya sunyi kini dihiasi hotel mewah, kafe moden dan litar perlumbaan motosikal antarabangsa yang menarik hampir 150,000 penonton pada bulan ini.

Namun pembangunan pesat ini turut membawa kisah duka. Ini kerana di antara tahun 2019 hingga 2021, berpuluh keluarga dipindahkan dari kampung mereka bagi memberi laluan kepada pembinaan litar tersebut.

Damar merupakan antara yang kehilangan rumah.

“Saya marah, tetapi apa yang boleh saya buat? Saya tidak mampu melawan kerajaan,” katanya.

Kini dia membina rumahnya sendiri hasil pendapatan sebagai jurupandu pelancong, pekerjaan yang memberikan pendapatan dua kali ganda berbanding nelayan, pekerjaan yang dilakukannya sejak turun-temurun.

Namun katanya lagi, kemarahan terhadap kehilangan tanah tidak ditujukan kepada pelancong asing.

“Saya tidak marah kepada pelancong, saya hanya marah kepada kerajaan saya sendiri.”

Peluang atau ancaman?

Kerajaan Indonesia mahu mengurangkan kebergantungan kepada Bali yang kini menanggung beban kesesakan, pencemaran dan limpahan pelancong dan melihat Lombok sebagai alternatif semula jadi.

Tahun lalu, terdapat lebih 81,000 pelancong asing tiba di Lombok iaitu peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Namun angka itu masih kecil berbanding 6.3 juta pelancong ke Bali dan bagi mempercepat pembangunan, kerajaan memperoleh pelaburan ratusan juta dolar dan pinjaman AS$250 juta (RM1 bilion) daripada Bank Pelaburan

Infrastruktur Asia. Namun tidak semua penduduk setuju dengan perubahan ini.

Di Kuta, Lombok, deretan rumah inap bajet kini digantikan dengan kolam renang moden, katil jemur mewah dan sekolah antarabangsa untuk anak ekspatriat.

Di pantai Tanjung Aan, pemilik kafe Kartini Lumban Raja menyuarakan keresahan.

“Bila pantai mula jadi seperti Kuta, kita hilang daya tarikan semula jadi. Kita hilang peluang, hilang keindahan,” katanya.
Identiti Lombok di persimpangan

Selain isu daya tarikan semula jadi dan hak tanah, pembangunan pesat turut menimbulkan persoalan tentang masa depan budaya tempatan.

Lombok merupakan pulau majoriti penduduknya beragama Islam dan dihuni oleh etnik Sasak yang kuat berpegang pada nilai tradisi. Ini sama sekali berbeza dengan Bali, di mana alkohol di sini sukar didapati dan pelancong dinasihatkan untuk berpakaian sopan.

Namun dengan kemasukan pelancong asing dan gaya hidup moden, suasana ini dijangka berubah.

“Lombok istimewa kerana alam dan budayanya masih asli. Kalau mahu lihat Bali, pergilah ke Bali,” kata seorang pelancong dari Switzerland, Basil Berger.

“Menjadikan Lombok seperti Bali adalah kesilapan besar.” katanya lagi.

Alam terancam, identiti tergugat

Lihat sahaja kepada Acara Grand Prix Motosikal di Mandalika tahun lalu yang meninggalkan 30 tan sampah sekali gus merupakan petanda awal cabaran besar alam sekitar yang bakal dihadapi oleh pulau berkenaan.

“Lombok perlu belajar dari Bali sebelum terlambat,” kata Sekar Utami Setiastuti, penduduk Bali yang mengikuti perkembangan pembangunan Lombok.

Katanya, kerajaan harus memastikan pembangunan pelancongan benar-benar meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan, bukan sekadar menarik lebih ramai pelancong.

“Lombok mesti mencari identitinya sendiri, bukan sekadar menjadi ‘Bali yang kurang sesak’,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×