Lawatan Infantino tidak pengaruhi rayuan kes

Lawatan Infantino tidak pengaruhi rayuan kes

Gianni Infantino
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedatangan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino yang dijadual melawat Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tahun 2025, esok, tidak akan mempengaruhi kes rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pandangan itu disuarakan oleh pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli yang menyifatkan kedatangan Infantino atas urusan rasmi dan mereka sentiasa bersikap profesional.

Katanya, lawatan itu difahamkan bertujuan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembangunan bola sepak ASEAN, satu langkah penting bagi memperkukuh ekosistem bola sepak di Asia Tenggara.

Selain menghadiri acara rasmi, Infantino turut melawat Pusat Latihan Nasional (NTC) di Putrajaya bagi memberi peluang kepada wakil FIFA menilai kemudahan moden yang dibangunkan untuk menyokong visi jangka panjang bola sepak Malaysia.

“Saya lebih melihat kepada agenda lawatan Presiden FIFA ini iaitu melawat pusat latihan kita NTC. Dia mungkin mahu melihat perkembangan NTC selepas beri dana untuk projek itu, selain kekecohan yang sedang berlaku dalam FAM.

“Betulkah projek yang dibuat mengikut bajet yang telah diberikan oleh FIFA. Lagipun kebetulan, apa yang saya difahamkan ada majlis menandatangani perjanjian pembangunan bola sepak ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN.

“Untuk katakan akan mempengaruhi keputusan rayuan melibatkan kes FAM dan tujuh pemain warisan itu, bagi saya tidak masuk akal kerana badan sukan antarabangsa ini mereka bekerja secara profesional.

“Badan yang terlibat dalam hukuman dan rayuan adalah jawatankuasa lain. Benar, Infantino adalah Presiden FIFA tetapi jika beliau terlalu masuk campur dalam urusan ini, mungkin akan menimbulkan rasa tidak hormat mereka dalam FIFA maka kita harus memandang benda itu dalam konteks yang lebih luas,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Keputusan rayuan melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dijangka diketahui pada 30 Oktober ini.

Pada 26 September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Antara pemain terbabit ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

Pekan turut mengingatkan semua orang FAM agar bersikap profesional apabila menerima kunjungan Infantino.

“Kita tidak boleh main redah sahaja kerana mereka juga ada sensitiviti. Jadi kita juga kena bersikap profesional dan mengikut saluran yang sepatutnya dalam mempertahankan imej bola sepak negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×