KUALA LUMPUR: Glomac Berhad optimis pendapatannya akan pulih pada suku kedua tahun kewangan 2026, selepas mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 juta pada suku pertama yang merupakan kerugian pertama dalam sejarah kumpulan itu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar berkata, kerugian tersebut berpunca terutamanya daripada masa pengiktirafan hasil bagi projek-projek yang sedang dijalankan dan bukannya disebabkan oleh asas perniagaan yang lemah.
“Kami yakin akan kembali merekodkan keputusan kewangan positif pada suku kedua tahun kewangan 2026 dan keseluruhan tahun kewangan semasa yang berakhir pada 30 April 2026.
“Di Glomac kami memiliki polisi yang mana setelah jualan mencapai 70 peratus, barulah kami akan menyerahkan projek kepada kontraktor, kemudian kami akan mengambil hasil selepas pembinaan mencecah 30 peratus.
“Ramai mengatakan kami terlalu konservatif. Sesetengah pemaju selepas dijual, mereka akan mengambilnya sebagai pendapatan tetapi kami tidak, ini hanyalah soal masa.
“Ada beberapa projek yang kami putuskan ia tidak mencapai 30 peratus (pembinaan).
“Selepas ia mencecah 30 peratus pendapatan akan masuk jadi saya cukup yakin pada suku kedua dan untuk tahun penuh kewangan ia akan positif,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Glomac Ke-41 semalam.
Pada mesyuarat tersebut, pemegang saham meluluskan dividen peringkat tunggal sebanyak 1.25 sen, menjadikan jumlah pembayaran 2.25 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025, atau hasil 6.6 peratus berdasarkan harga penutup 34 sen pada 30 April 2025.
Iskandar berkata, pihaknya juga optimis mampu mencapai sasaran jualan RM400 juta pada tahun kewangan semasa, disokong pelan pelancaran baharu bernilai kira-kira RM324 juta bagi tahun kewangan 2026 dan projek bernilai RM154 juta yang dilancarkan pada suku keempat tahun kewangan 2025.
Jelasnya, pihaknya juga memiliki jualan belum dibil berjumlah RM566 juta, manakala simpanan tanah Glomac kini melebihi 600 ekar (242 hektar) dengan nilai pembangunan kasar RM6 bilion.
“Daripada jumlah tersebut, RM5 bilion adalah di Lembah Klang dan selebihnya di Johor. Kami sentiasa melihat untuk menambah bank tanah dan secara peribadi, saya lebih berminat pada kawasan di Lembah Klang,” ujarnya. –UTUSAN










