KOTA KINABALU: Pihak pendakwaan memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan aktivis, Mona Din yang boleh menyebabkan kedua-dua mereka dipenjara atau didenda berhubung kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam mewakili Peguam Negara selaku pemohon.
“Selepas mendengar hujahan pemohon dan meneliti kertas-kertas kausa, mahkamah berpuas hati terdapat prima facie contempt (penghinaan mahkamah) dan permohonan kebenaran dibenarkan,” kata Koroner Amir Shah.
Sementara itu, Mohamad Mustaffa ketika dihubungi memberitahu, kertas kausa akan diserahkan kepada kedua-dua responden, Mohd. Shafie dan Mona atau nama sebenarnya, Che Muna Din dalam masa 14 hari.
“Pihak-pihak perlu memfailkan afidavit jawapan dalam tempoh 14 hari selepas menerima kertas kausa tersebut. Selepas itu, mahkamah akan tetapkan tarikh untuk pendengaran permohonan komital inter parte (kedua-dua pihak),” katanya.
Menurut notis dan afidavit permohonan yang difailkan secara berasingan pada 16 Oktober lalu, Mohd. Shafie didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang menjurus kepada penghinaan mahkamah pada majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada 20 September 2025 yang kemudian dimuat naik ke Facebook miliknya.
Perkataan-perkataan yang diucapkan oleh Mohd. Shafie dalam majlis tersebut menjurus kepada suatu bentuk pengaruh yang tidak wajar kepada koroner yang sedang mengendalikan inkues tersebut dalam menentukan sebab kematian serta membuat dapatan dan keputusan di akhir prosiding berkenaan.
Sementara itu, Mona pada 4 September 2025 didakwa telah menerbitkan kenyataan menghina mahkamah berkait prosiding sama yang diterbitkan di laman media sosial Facebook miliknya.
Dalam hantaran tersebut, Mona mempertikaikan keterangan saksi iaitu Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu yang merupakan saksi pertama inkues.
Pendakwaan menyatakan, kenyataan yang dibuat oleh kedua-dua responden bertujuan mempengaruhi pendapat awam tentang integriti prosiding inkues yang sedang berlangsung dan mengandungi risiko nyata yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas pentadbiran keadilan.
Kenyataan-kenyataan itu juga menjurus kepada gangguan dan merupakan campur tangan dalam pentadbiran keadilan yang mana ia merupakan penghinaan mahkamah yang serius.
Pendakwaan memohon agar Mohd. Shafie dan Mona dikomitkan ke penjara atau didenda kerana menghina mahkamah dan perintah-perintah lain yang difikirkan wajar dan berpatutan. Turut dimohon ialah kos. -UTUSAN










