Seleweng diesel, pemandu lori didenda RM30,000

Seleweng diesel, pemandu lori didenda RM30,000

MOHAMMAD Syafiq Jaily Abdullah (tengah) diiringi oleh anggota penguatkuasa KPDN Pulau Pinang ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas kesalahan memiliki dan menyimpan ribuan liter diesel subsidi tanpa kebenaran.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pemandu lori didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki dan menyimpan ribuan liter diesel subsidi tanpa kebenaran ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohammad Syafiq Jaily Abdullah, 35, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Roslan Hamid.

Roslan turut memerintahkan agar tertuduh dipenjara sehingga 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Pada masa yang sama, beliau juga mengarahkan agar hasil jualan barang rampasan, bayaran bon jaminan kenderaan serta peralatan yang disita sama ada dilucut hak sebagai hasil kerajaan atau dilupuskan.

Terdahulu, kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana melanggar Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Pindaan 2021).

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah ditahan oleh sepasukan anggota Polis Risik Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim dalam satu pemeriksaan pada 7 Julai 2023 di Bukit Mertajam.

Hasil pemeriksaan, sebanyak 2,230 liter diesel dijumpai disimpan secara haram dalam tangki tambahan sebuah lori, bersama pam, hos paip dan tangki besi yang digunakan untuk aktiviti pemindahan bahan api itu.

Siasatan juga mendapati, kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tertuduh gagal mengemukakan lesen atau permit sah untuk penyimpanan minyak berkenaan.

Pada 25 April 2024, tertuduh sekali lagi diberkas kerana mengulangi kesalahan yang sama apabila sebanyak 5,507 liter diesel serta peralatan seperti motor pam dan hos paip yang diubah suai dijumpai dalam lori yang dipandunya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×