Verdant Solar tampil kukuh 37 sen sesaham di Pasaran ACE

Verdant Solar tampil kukuh 37 sen sesaham di Pasaran ACE

LIM Tzer Haur (lima dari kiri) ketika penyenaraian Verdant Solar Holdings Berhad di Pasaran Ace Bursa Malaysia Securities Berhad, tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Verdant Solar Holdings Berhad, syarikat pemasangan panel solar, mencatatkan peningkatan sebanyak 19.35 peratus ketika penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 31 sen sesaham.

Saham syarikat itu dibuka pada 37 sen, meningkat setinggi 38.5 sen dan diniagakan pada 38 sen pada pukul 9.10 pagi, dengan lebih 49 juta unit bertukar tangan.

Pengarah Urusannya, Lim Tzer Haur berkata, pihaknya teruja dengan sambutan menggalakkan terhadap IPO syarikat itu yang terlebih langgan hampir 40 kali.

Katanya, dengan sokongan kukuh daripada para pelabur, sebanyak RM44.02 juta yang diperoleh melalui IPO itu akan digunakan untuk menubuhkan pejabat cawangan baharu di Kuantan, Melaka dan Ipoh.

“Selain itu, syarikat akan memperluas perniagaan melalui pelaburan strategik, penggabungan serta pengambilalihan, selain meningkatkan infrastruktur digital, menampung modal kerja dan menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

“Seiring dengan usaha Malaysia mempergiatkan kepelbagaian sumber penjanaan elektrik melalui tenaga boleh baharu dan lestari, permintaan terhadap sistem solar fotovoltaik (PV) dijangka terus meningkat, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk Verdant Solar. 

“Disokong oleh asas kukuh, potensi pertumbuhan pasaran hartanah kediaman serta program tenaga solar yang digerakkan kerajaan, kami yakin penyenaraian hari ini menandakan permulaan masa depan yang cerah bagi syarikat ini,” katanya ketika sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran Ace di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Tzer Haur berkata, projek pembukaan cawangan baharu di Melaka dan Ipoh dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh 12 bulan, manakala Kuantan akan menyusul selepas itu.

“Ini adalah sesuatu yang benar-benar kami ingin capai. Jika dilihat dalam prospektus, kami telah memulakan operasi di Pulau Pinang dan Johor pada tahun 2022 dan kini kedua-dua cawangan tersebut menyumbang 26 peratus daripada jumlah hasil syarikat. 

“Kami berharap tiga bandar baharu yang akan diteroka tahun ini atau tahun depan akan turut menyumbang pada kadar dua angka dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sedang meneliti potensi penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dengan syarikat lain yang mempunyai nilai dan matlamat seiring dengan Verdant Solar, selain memiliki kecekapan, asas pelanggan atau produk yang boleh melengkapi ekosistem perniagaan sedia ada.

Menurutnya, usaha M&A itu berkemungkinan melibatkan syarikat dalam industri solar di luar segmen kediaman atau syarikat yang menawarkan produk tambahan yang boleh dijual semula kepada pangkalan pelanggan sedia ada.

“Buat masa ini, kami masih di peringkat awal penerokaan. Tiada sebarang perbincangan rasmi dijalankan lagi, namun kami sudah mempunyai idea tentang jenis syarikat dan industri yang ingin kami sertai,” tambahnya. 

Menyentuh mengenai Belanjawan 2026, Tzer Haur berkata, syarikat melihat isyarat positif daripada langkah kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi Program Tenaga Boleh Diperbaharui Nasional (NPR) dan RM60.5 bilion untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

“Kami melihat peruntukan ini sebagai petanda baik kepada industri tenaga boleh diperbaharui. Seperti disebut, RM150 juta bagi NPR diharap dapat disalurkan kepada sektor kediaman, memandangkan itu adalah kekuatan utama kami. 

“Namun pada masa sama, kami juga menyedari kerajaan turut mengenakan cukai tertentu terhadap industri, yang menjadi peringatan kepada kami untuk memberi tumpuan kepada segmen komersial dan perindustrian (CNI),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×