SHAH ALAM: Pasaran kurier Malaysia dijangka mencapai sekitar RM6.8 bilion hingga RM6.9 bilion tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertumbuhan tersebut didorong oleh lonjakan permintaan daripada sektor e-dagang serta penambahbaikan infrastruktur logistik, seperti fasiliti SPX (SPX) Express Sorting Centre.
Katanya, berdasarkan maklumat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bilangan bungkusan yang diuruskan dalam industri kurier meningkat mendadak daripada 52 juta pada 2015 kepada lebih 900 juta setahun pada 2024.
“Pertumbuhan ini dipacu oleh pembelian dalam talian yang semakin tinggi, perkembangan platform e-dagang serta peningkatan akses Internet dan digitalisasi.
“Industri kurier kini mewujudkan lebih 150,000 peluang pekerjaan, dengan 80 peratus penghantar bungkusan berasal daripada golongan B40,” katanya dalam majlis perasmian pembukaan Bukit Raja Selatan (BRS) Sorting Centre SPX Express (SPX) di sini, semalam.
Tambah beliau, pembukaan pusat saringan Bukit Raja Selatan menjana lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai bidang, termasuk kejuruteraan, digital dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).
“Selain peluang kerja untuk penyusunan dan bungkusan, dalam pasukan juga perlu ada jurutera bagi memastikan semua kelengkapan perkakas dan peralatan dapat berfungsi dengan baik,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi menyarankan industri kurier menjalin kerjasama lebih erat dengan institusi pengajian tinggi terutamanya dalam bidang kejuruteraan yang berkaitan dengan keperluan industri.
“Dengan perubahan teknologi, wujud peluang untuk kita meningkatkan kemahiran. Saya harap SPX Express wujudkan satu program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang memberi peluang kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran,” katanya.
Sorting Centre Bukit Raja Selatan berkeluasan lebih 30,000 meter persegi merupakan sebahagian daripada pelaburan SPX berjumlah RM63.2 juta (AS$15 juta) dalam Automated Sorting Machine (ASM) canggih bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Pusat baharu ini mampu mengendalikan lebih dua juta bungkusan sehari, memperkukuh hubungan antara peniaga dan pengguna, serta mempercepatkan penghantaran di seluruh negara. – UTUSAN










