TELUK INTAN: Keputusan berat seorang bapa tunggal menghantar tiga anaknya ke rumah kebajikan di sini disambut penuh tanggungjawab oleh pihak pusat jagaan terlibat.
Tiga beradik itu yang berusia lima, tujuh dan sembilan tahun kini ditempatkan di Pusat Jagaan Kebajikan Jaz (Jaz Home) di Teluk Intan selepas diserahkan oleh bapa mereka yang berusia 56 tahun.
Kisah tiga beradik itu tular dalam media sosial selepas terpaksa berpisah dengan bapa mereka yang bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur.
Pengerusi Jaz Home, Kong Sun Chin, pihaknya menerima kehadiran tiga beradik tersebut dengan hati terbuka dan menyifatkan tindakan bapa mereka sebagai satu langkah penuh kasih sayang.
Katanya, ia demi memberi peluang pendidikan dan kehidupan lebih baik buat anak-anak berkenaan.
“Kami memahami keperitan seorang bapa tunggal yang mahu anak-anaknya membesar dalam persekitaran yang kondusif untuk belajar dan membina jati diri.
“Di sini, kami bukan sekadar menyediakan makanan dan tempat tinggal tetapi juga pendidikan, nilai moral serta kasih sayang seperti sebuah keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menyentuh mengenai keadaan tiga beradik tersebut, Sun Chin berkata, mereka kini berada dalam keadaan baik dan sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu yang positif serta teratur.
Dalam pada itu, beliau berkata, pusat berkenaan yang telah beroperasi sejak 15 tahun lalu telah berjaya mendidik ramai anak-anak dalam kalangan keluarga miskin dan anak yatim.
“Setakat ini, 12 orang anak di rumah kebajikan ini berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading. Daripada jumlah itu, lapan orang telah menamatkan pengajian universiti, seorang baru sahaja bergelar graduan tahun ini manakala tiga lagi masih belajar.
“Salah seorang daripada mereka kini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana. Ini membuktikan bahawa kasih sayang dan pendidikan mampu mengubah masa depan anak-anak ini,” katanya yang turut menyeru orang ramai dapat tampil menghulurkan sumbangan membantu pihaknya.-UTUSAN.










