Kebaikan, kekurangan Belanjawan 2026

Kebaikan, kekurangan Belanjawan 2026

KERAJAAN perlu melabur lebih banyak dalam langkah pencegahan dan aktiviti promosi kesihatan berkaitan penyakit kronik mahupun isu kesihatan lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan pengenalan ‘Lemon Law’ melalui pindaan kepada Akta Perlindungan Pengguna untuk melindungi pembeli kereta daripada kenderaan yang rosak. Kami berharap ‘Lemon Law’ ini turut diperluaskan kepada kereta baharu.

Kami juga gembira kerana kerajaan bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 pada sidang Parlimen ini. Usaha mobilisasi seperti kempen kesedaran dan program pembinaan kemahiran diperlukan untuk membendung fenomena buli.

Rebat bagi pembelian peralatan cekap tenaga adalah langkah yang baik kerana menawarkan penjimatan kewangan segera untuk pengguna. Dalam masa sama menggalakkan penggunaan produk yang cekap tenaga dan pada jangka panjang akan mengurangkan kesan alam sekitar.

Namun, kami kecewa kerana kadar duti eksais ke atas produk rokok hanya akan dinaikkan sebanyak 2 sen bagi setiap batang sementara cerut, cerutu dan cerut kecil meningkat sebanyak RM40 sekilogram. Produk tembakau yang dipanaskan pula akan meningkat sebanyak RM20 sekilogram. Ini terlalu rendah untuk mengurangkan kelaziman merokok.

Kami juga berasa kecewa dengan peningkatan minimum belanjawan yang diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan, dengan hanya RM46.5 bilion diperuntukkan untuk 2026, peningkatan hanya RM1.2 bilion berbanding tahun lalu. Selain menyediakan dan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan, kerajaan perlu melabur lebih banyak dalam langkah pencegahan dan aktiviti promosi kesihatan untuk mengurangkan kos jangka panjang berkaitan merawat penyakit kronik dan isu kesihatan lain.

Kami juga berharap lebih banyak langkah akan diambil serta menambah peruntukan belanjawan dalam mencegah jenayah dan perlindungan alam sekitar selain melabur dalam usaha sisa sifar yang diterajui masyarakat. Ini tidak tercermin dalam belanjawan tahun ini.-UTUSAN

MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×