PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi yang kukuh dan berdaya saing, disokong oleh kestabilan nilai ringgit serta pertumbuhan domestik dan luaran pada suku ketiga 2025.
Perkara ini sekali gus memberikan unjuran positif dalam data rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2025 yang akan diumumkan pada 14 November ini.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit kini berada di paras sekitar RM4.22 berbanding dolar AS, mewakili peningkatan sebanyak 5.9 peratus sejak awal tahun, satu petunjuk positif terhadap keyakinan pelabur dan ketahanan ekonomi negara.
“Dalam pada itu, Belanjawan 2026 menekankan pendekatan seimbang, dengan fokus terhadap memantapkan disiplin fiskal di samping menyokong pertumbuhan ekonomi jangka sederhana dan panjang.
“Pendekatan ini dijangka mampu memperkukuh asas ekonomi negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin agresif menjelang 2026 dan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai pemacu kepada prestasi ekonomi semasa.
Katanya, antaranya adalah lonjakan dalam sektor perlombongan dan pengkuarian, hasil daripada peningkatan output petroleum mentah dan gas asli yang menyumbang kepada pengembangan ketara sektor tersebut.
“Selain itu, sektor pembuatan dan perkhidmatan terus berkembang pada kadar yang sihat. Lonjakan eksport pada September sebanyak 12.2 peratus membuktikan permintaan luar negara yang kekal kukuh, sekali gus memacu aktiviti dalam sektor pembuatan.
“Pasaran buruh juga berada dalam keadaan yang stabil, dengan kadar guna tenaga penuh menyokong pertumbuhan sektor perkhidmatan.
“Dalam sektor peruncitan khususnya, terdapat peningkatan ketara sebanyak 5.6 peratus pada bulan Julai dan 5.0 peratus pada Ogos, melebihi purata pertumbuhan suku kedua iaitu 5.0 peratus.
“Keseluruhannya, landskap ekonomi negara kekal kukuh dengan sokongan daripada sektor utama serta dasar fiskal yang berhati-hati namun progresif. Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk terus berkembang meskipun berdepan ketidaktentuan global yang berterusan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, prestasi ekonomi Malaysia diunjur sekitar 5.0 peratus pada suku ketiga 2025.
“Saya tidak menolak kemungkinan pertumbuhan lebih tinggi sekiranya terdapat faktor luaran yang luar biasa, seperti peningkatan mendadak dalam permintaan eksport dari Amerika Syarikat (AS) sebelum pelaksanaan tarif baharu.
“Sekiranya berlaku peningkatan disebabkan permintaan dari AS yang tinggi sebelum tarif berkuat kuasa. Kalau begitu mungkin boleh capai. Tapi secara realistik, saya rasa 5.0 peratus lebih munasabah,” tambahnya.
Setakat ini, sektor pembuatan dan eksport sememangnya menunjukkan momentum yang positif, dengan eksport September mencatat lonjakan sebanyak 12.2 peratus
Namun, pertumbuhan secara menyeluruh masih bergantung kepada pelbagai faktor termasuk perbelanjaan domestik, pelaburan swasta serta ketidakpastian ekonomi global.
Maybank IB berkata, ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan lebih pantas pada suku ketiga 2025, dengan anggaran awal KDNK sebenar meningkat 5.2 peratus tahun ke tahun berbanding 4.4 peratus pada suku kedua.
Secara suku tahunan, pertumbuhan melonjak kepada 5.5 peratus berbanding hanya 1.0 peratus pada suku sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, anggaran itu berdasarkan data ekonomi dari Julai hingga Ogos 2025 dan sejajar dengan anggaran bulanan KDNK yang menunjukkan purata pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus.
“Lonjakan ini didorong oleh permintaan domestik yang stabil terutamanya perbelanjaan pengguna yang kukuh serta kitaran pelaburan yang berterusan selain pemulihan dalam permintaan luar bersih.
“Pertumbuhan 5.2 peratus pada suku ini didorong oleh prestasi pelbagai sektor utama ekonomi pembuatan meningkat kepada 4.0 peratus tahun ke tahun (suku kedua 3.7 peratus) disumbang oleh produk elektrik, elektronik dan optikal, minyak dan lemak sayuran dan haiwan, pemprosesan makanan, produk mineral bukan logam serta produk logam asas dan fabrikasi,” katanya. – UTUSAN










