Dua lelaki ditahan selepas 14 jam lakukan pecah rumah

Dua lelaki ditahan selepas 14 jam lakukan pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat kes pecah rumah dan melarikan kenderaan di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi di sini semalam.

Penahanan suspek warga tempatan berusia 29 dan 32 tahun itu dilakukan pada pukul 6 petang dalam tempoh 14 jam mereka melakukan kegiatan itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki itu ditahan di kawasan Cheras, Kuala Lumpur dan polis berjaya merampas kenderaan milik mangsa bersama satu beg tangan yang mengandungi beberapa dokumen peribadi.

“Turut ditemukan dalam beg tangan itu antaranya adalah seutas jam tangan, seutas rantai emas, dua unit telefon bimbit dan satu dompet duit.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek yang positif dadah itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan 13 kes jenayah dan sembilan kes dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua saspek telah direman tiga hari  sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mangsa merupakan pesara universiti awam berusia 62 tahun telah memaklumkan kediamannya dimasuki suspek ketika beliau dan isteri sedang tidur.

“Suspek telah melarikan dua kenderaan jenis Mercedes Benz dan Perodua Kelisa yang berada di dalam kawasan parkir rumah selain satu beg tangan mengandungi dokumen peribadi,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×