Masih ramai langgar undang-undang walaupun polis keluar 81,880 saman

Masih ramai langgar undang-undang walaupun polis keluar 81,880 saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 81,880 saman dikeluarkan dalam tempoh hanya 20 hari Op Patuh Undang-Undang (Op PUU) sekali gus menyaksikan masih ada masyarakat yang mengambil sikap sambil lewa terhadap peraturan. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, menerusi operasi bermula 1 hingga 20 Oktober itu menunjukkan kempen kesedaran dan pemantauan dijalankan selama sebulan tidak mengubah sikap mereka.

“Angka ini amat membimbangkan. Jika trend ini berterusan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, ia akan menunjukkan bahawa kempen dan program kami gagal mendorong perubahan sikap.

“Saman-saman itu dikeluarkan terhadap pelbagai kategori pengguna jalan raya termasuk 66,859 pemandu kereta, 11,346 penunggang motosikal, 1,142 pemandu van atau SUV, 757 pemandu lori, 109 pemandu bas, 625 pemandu teksi, serta 1,042 pejalan kaki,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Fadil berkata, kesalahan paling banyak direkodkan ialah halangan lalu lintas (54,364), ingkar isyarat trafik (16,891), memandu tanpa lesen atau lesen tamat tempoh (2,388), cukai jalan tamat tempoh (1,501), kesalahan pejalan kaki seperti tidak menggunakan jejantas atau lintasan (1,042), dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau tersembunyi (1,000).

“Kesalahan lain termasuk berhenti melepasi garisan putih (575), melanggar lampu merah (541), tidak memakai atau tidak memasang topi keledar dengan betul (513), menggunakan telefon bimbit semasa memandu (395), berhenti di petak kuning (367), ubah suai kenderaan (312), tidak memakai tali pinggang keledar (296), serta memotong barisan atau melanggar garisan berkembar (44).

“Kita mahu warga kota membudayakan sikap berdisiplin yang mencerminkan rasa hormat terhadap undang-undang, termasuk peraturan trafik kecil,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat kota perlu mengikut peraturan dan perlu dimulakan sekarang jika tidak, tiada sebarang penambahbaikan akan berlaku.

“Op PUU akan dikuatkuasakan secara menyeluruh dan berterusan sepanjang tahun, dengan penglibatan semua agensi dan jabatan berkaitan di Kuala Lumpur.

“Orang ramai, khususnya pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi undang-undang kerana peraturan itu diwujudkan demi keselamatan semua,” jelasnya.

Kata Fadil, walaupun polis tidak mahu terlalu bergantung kepada tindakan saman sebagai langkah pencegahan, pihaknya tiada pilihan lain sekiranya pendidikan semata-mata tidak berkesan.

“Jika tahap pematuhan tidak menunjukkan peningkatan, pihak polis akan membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi untuk mendapatkan sokongan dasar dan inisiatif baharu, sambil menekankan keperluan kerjasama semua kementerian dan sektor masyarakat bagi memupuk rasa hormat terhadap undang-undang,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×