SEJAK dua minggu lalu, cuaca tidak menentu melanda negeri-negeri Pantai Timur. Di Terengganu misalnya, boleh dikatakan hampir setiap petang berlaku hujan lebat atau awal malam selepas pagi yang cerah.
Corak cuaca ini memberi petanda awal bahawa fasa peralihan monsun sedang berlaku. Semasa tempoh peralihan kepada Monsun Timur Laut (MTL) ini boleh menyebabkan cuaca tidak dapat diramalkan seperti hujan lebat yang datang secara tiba-tiba.
Dalam erti kata lain, musim tengkujuh semakin hampir yang datang dalam beberapa episod. Kehadiran tengkujuh membawa taburan hujan lebih tinggi ke negeri-negeri timur Semenanjung, tengah dan barat Sarawak dan Sabah. Impak cuaca ini boleh mengakibatkan banjir di negeri-negeri terlibat.
Lebih buruk berlaku kejadian tanah runtuh dah hakisan ekoran ombak kuat menghakis pesisir pantai. Tahun lalu, puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumah mereka dinaiki air.
Banyak kawasan pesisir pantai dilapor mengalami hakisan. Beberapa jalan di tepi pantai seperti di Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu rosak dan ada sebahagiannya runtuh. Dalam musim tengkujuh tahun lalu, kawasan Batu Rakit adalah lokasi paling teruk terjejas akibat hingga menyebabkan kerugian besar dalam kalangan pemilik resort, chalet, kedai makan dan kediaman penduduk di pesisir pantai tersebut.
Tahun ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan MTL bermula awal bulan depan hingga hujung Mac 2026 dan dipengaruhi oleh fenomena La Nina lemah.
Keadaan ini membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan, melebihi purata biasa lima episod setiap musim. Sabah dijangka mengalami hujan melebihi paras purata dari November hingga Februari 2026 manakala kemuncak hujan dijangka pada Disember 2025, melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. Risiko banjir besar meningkat sekiranya hujan berterusan berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar.
Hakikatnya, manusia tidak boleh mengekang kejadian alam semula jadi seperti perubahan monsun yang membawa hujan berterusan setiap kali tibanya hujung dan awal tahun. Agensi dan pasukan keselamatan kini dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya menghadapi musim tengkujuh.
Jabatan Pengairan dan Saliran pula telah melaksanakan kerja-kerja mengorek dan mendalamkan sungai yang cetek di seluruh negara sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapinya.
Inisiatif itu bagi memperbaiki aliran air banjir ke laut dan memastikan air surut dengan lebih cepat, terutama ketika air laut surut. Usaha mitigasi banjir membabitkan pelebaran dan pendalaman sungai ini membantu mengurangkan kejadian banjir di kawasan tertentu.
Langkah-langkah ini yang diperkuat dengan penyelarasan dan koordinasi rapi antara semua agensi di peringkat negeri dan Persekutuan dapat mengurangkan risiko kerugian, kehilangan nyawa, kerosakan dokumen penting serta harta benda akibat banjir.
Penduduk yang yang berada di kawasan risiko banjir pula seharusnya berpindah ke PPS jika diarahkan berbuat demikian bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Selepas saban tahun berdepan tengkujuh, Malaysia kini lebih bersedia menghadapinya. Sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 sebagai pencegahan banjir dalam jangka panjang untuk meneruskan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir berkeutamaan tinggi, termasuk 12 projek baharu yang dimulakan tahun depan.
Banjir adalah bencana alam yang memberi impak besar bukan sahaja kepada kehidupan rakyat tetapi juga kepada ekonomi negara. Dengan semua persediaan rapi dilakukan diharap impak kunjungan MTL kali ini dapat dikurangkan atau dicegah. Elak skrip sama banjir diulang siar.-UTUSAN.










