Pas mahu isu dalaman Bersatu diselesai segera

Pas mahu isu dalaman Bersatu diselesai segera

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM keadaan semua parti politik memberi tumpuan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula berdepan pergolakan dalaman sehingga menyebabkan beberapa pimpinan parti dipecat dan digantung keahlian.

Kronologinya bermula daripada pendedahan Akuan Bersumpah (SD) yang didakwa bertujuan untuk melakukan peralihan kuasa sebagai ‘usaha’ memastikan kelangsungan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Situasi tersebut secara tidak langsung meletakkan Pas, sebagai parti komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), di kedudukan yang agak janggal.

Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, NURAINA HANIS ABD. HALIM dan ASLINDA NASIR bersama Timbalan Presiden Pas, DATUK SERI TUAN IBRAHIM TUAN MAN untuk merungkai persoalan tersebut.

Turut membantu, jurugambar, SHIDDIQIN ZON.


UTUSAN: Bagaimana melihat isu dalaman Bersatu, mungkin Pas menjadi jambatan kepada kemelut ini?

TUAN IBRAHIM: Prinsipnya kita tidak akan campur tangan dalam urusan parti-parti lain. Kalau sekiranya ada pandangan, kita akan melalui perundingan dalaman dalam PN. Kita ada jumpa beberapa pimpinan tetapi Pas memegang prinsip (tidak campur tangan), hal urusan dalaman akan dibincangkan melalui PN.

Tidakkah Datuk Seri merasakan pergolakan dalaman Bersatu menjejaskan sokongan Melayu terhadap gabungan PN?

Secara asasnya, kita memang sudah menjangka perkara ini akan berlaku, namun berharap agar permasalahan tersebut dapat diselesaikan dengan baik. Parti mempunyai mekanisme tersendiri melalui Jawatankuasa Disiplin bagi menangani isu seperti ini.

Ahli yang digantung atau dipecat diberikan tempoh dua minggu dan kita menggalakkan mereka menggunakan saluran tersebut bagi menyelesaikan masalah dalaman. Kita juga menghormati prosedur yang ditetapkan kepimpinan Bersatu.

Apakah saranan Datuk Seri supaya pihak kepimpinan Bersatu membuat tindakan dengan segera supaya keadaan ini tidak menjadi lebih teruk?

Saya pegang prinsip untuk tidak campur sangat urusan ini tetapi kita yakin Bersatu ada mekanisme. Jadi, kita harapkan supaya isu-isu yang menimbulkan masalah dalaman dapat diselesaikan awal. Sebab pertama, kita sedang menghadapi PRN Sabah. Kita perlukan kekuatan PN untuk tampil sebagai parti yang dilihat mampu mengambil alih kerajaan.

Keduanya, selepas ini akan ada PRN Melaka dan juga PRU16. Hampir semua parti-parti ada masalah dalaman cuma bagaimana kita menghadapi masalah tersebut.

Adakah isu dalaman Bersatu ini membuatkan Pas dalam keadaan tidak selesa?

Buat masa ini, kami menunggu laporan penuh dalam mesyuarat PN namun ia belum diadakan lagi. Mungkin di situ akan mendapat penjelasan namun kita mahu tengok macam mana. Setakat ini kita melihat daripada luar sahaja.

Apabila berlaku pergolakan ini, ia seakan-akan tidak meletakkan fokus kepada PRN Sabah seperti yang Datuk Seri sebutkan. Komen?

Saya rasa tidak sangat, sebab Pengerusi Pilihan Raya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee. Isu yang berlaku ini di luar daripada jawatankuasa, tidak terlibat secara langsung dalam PRN Sabah. Jadi, ia tidak sangat menjejaskan dari segi struktur tadbir pengurusan PRN. Isu dalaman ini melibatkan beberapa tokoh yang tidak terlibat secara langsung dalam PRN Sabah.

Bagaimana boleh timbul isu Pas akan menerajui PN?

Saya tengok pertama, mungkin faktor Pas paling banyak kerusi di Parlimen, paling banyak di negeri (memerintah empat negeri), mungkin faktor itu sendiri.

Keduanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil alih dulu sewaktu menjadi Perdana Menteri dan kita cuma teruskan.

Bagi saya, isu menerajui PN akan diputuskan oleh komponen. Cuma saya mahu kongsi berita baik sedikit. Kita kini sudah ada satu suruhanjaya iaitu Majlis Presiden PN yang mana presiden-presiden berada di atas satu ruang yang lebih tinggi.
Pengurusan Majlis Presiden dikendalikan oleh presiden parti iaitu Pas, Bersatu, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat (Gerakan). Semua duduk pada satu aras yang sama. Apa pun masalah di peringkat majlis tertinggi akan di bawa ke Majlis Presiden.

Adakah kepimpinan Pas lebih mudah bekerjasama dengan Hamzah berbanding Muhyiddin?

Kami terbuka, boleh bekerja dengan siapa-siapa sahaja. Tiada masalah kerana ia melalui mesyuarat. Cuma hubungan peribadi itu masing-masing punya hal. Tetapi dalam organisasi ini, kita mematuhi struktur organisasi.

Untuk mendepani survival PRU16, perlukah ada wajah baharu ke hadapan?

Perlu ada penambahbaikan. Saya setuju sekiranya ada penambahbaikan PN dan ia perlu dibuat sama ada di peringkat negeri, bahagian dan pusat untuk diperkukuhkan. Contohnya , ada perubahan dalam kepimpinan. Bersatu membuat perubahan bagi ketua pengerusi negeri. Dalam Pas pun ada pesuruhjaya yang ditukar dan sebagainya.

Yang keduanya, perlu ada penjadualan tetap untuk mengadakan mesyuarat PN di peringkat negeri-negeri, mungkin ada hala tuju PN. Saya fikir itu penambahbaikan.

Maksudnya, penambahbaikan itu dari segi perubahan kepimpinan?

Struktur dan konten perlu ada hala tuju, mesyuarat serta gerak kerja untuk perkukuhkan.

Baru-baru ini, dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan pintu kerjasama dengan parti-parti Melayu tidak ditutup sepenuhnya. Persoalannya kini, adakah sokongan Melayu memerlukan kerjasama antara parti-parti politik ini, termasuk dengan UMNO?

Kita masih terbuka bekerjasama, PN membuka pintu kepada mana-mana pihak yang boleh memimpin. Saya fikir ada benda yang kita perlu bekerjasama.

Saya setuju pintu tidak boleh ditutup dan kita setuju secara terbuka untuk berbincang namun perlu wujud persefahaman. Contohnya, membabitkan isu Palestin. Yang ini, kita ketepikan isu parti-parti politik.

Kita meletakkan keutamaan kepada isu kepentingan seperti keselamatan negara dan sebagainya. Berkaitan isu-isu dalaman saya fikir ada ruang yang boleh untuk berbincang.

Pas pun terbuka malah Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) sering kali menegaskan perlunya penyatuan ummah diteruskan. Ini memang agenda yang kita harapkan ada ruang-ruang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ada rundingan dan kerjasama dengan pemimpin UMNO setakat ini?

Setakat ini, belum ada tetapi masing-masing sudah menyatakan sikap mereka. Saya fikir ini mukadimah yang baik.

Ada pemimpin UMNO berjumpa pemimpin Pas bagi menyuarakan kebimbangan mereka meskipun berada dalam kerajaan?

Ada beberapa isu yang menjadi kebimbangan antaranya soal pengukuhan bumiputera, kedudukan ekonomi dan kuasa politik orang Melayu, Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang mengancam kedudukan orang Melayu di bandar serta persempadan pilihan raya. Sebenarnya, semua pihak melihat perkara-perkara ini sebagai isu besar yang memerlukan kesepakatan dan pilihan bersama antara parti-parti politik Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×