NEW DELHI: Ibu negara India kembali diselubungi jerebu tebal dan beracun pada Ahad, apabila tahap pencemaran udara direkodkan melebihi 16 kali ganda daripada paras maksimum harian yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Setiap tahun, New Delhi dan kawasan metropolitan yang didiami lebih 30 juta penduduk itu tersenarai antara bandar paling tercemar di dunia, apabila langitnya diselubungi asap tebal menjelang musim sejuk.
Fenomena itu berlaku apabila udara sejuk memerangkap bahan pencemar berhampiran tanah, didorong pembakaran sisa tanaman, pelepasan industri dan kesesakan kenderaan yang tinggi.
Namun, tahap pencemaran juga meningkat mendadak selepas beberapa hari sambutan perayaan Diwali, yang memuncak pada malam 20 Oktober.
Mahkamah Agung India pada Oktober lalu melonggarkan larangan penuh terhadap penggunaan bunga api sempena Diwali, dengan membenarkan penggunaan ‘bunga api hijau’ yang dikatakan kurang mencemarkan kerana menghasilkan partikel lebih sedikit.
Bagaimanapun, larangan tersebut dilaporkan tidak dipatuhi sepenuhnya seperti tahun-tahun sebelumnya.
Terdahulu, paras PM2.5 — zarah halus penyebab kanser yang cukup kecil untuk menembusi aliran darah — direkodkan mencecah 248 mikrogram bagi setiap meter padu di beberapa kawasan sekitar New Delhi, menurut data daripada organisasi pemantau IQAir.
Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara kerajaan memaklumkan kualiti udara dijangka terus merosot dalam beberapa hari akan datang.
Bagi mengawal keadaan, pihak berkuasa melaksanakan beberapa langkah termasuk memastikan bekalan elektrik tidak terganggu bagi mengurangkan penggunaan penjana diesel.
Pihak berkuasa bandar New Delhi turut mengumumkan rancangan untuk melakukan ujian teknik pembenihan awan menggunakan pesawat buat pertama kali pada Oktober, kaedah yang melibatkan penyemburan garam atau bahan kimia lain ke dalam awan bagi merangsang hujan untuk membersihkan udara.
“Kami sudah mempunyai semua kelengkapan yang diperlukan untuk menjalankan pembenihan awan,” kata Menteri Alam Sekitar Delhi, Manjinder Singh Sirsa, kepada pemberita pada Oktober, sambil menjelaskan ujian penerbangan dan latihan juruterbang telah pun selesai dijalankan.
Kajian yang diterbitkan dalam The Lancet Planetary Health pada 2024 menganggarkan 3.8 juta kematian di India antara 2009 dan 2019 dikaitkan dengan pencemaran udara.
Sementara itu, agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran udara tercemar meningkatkan risiko jangkitan pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak.- AFP










