Genap setahun pentadbiran, Prabowo ditekan tunaikan janji populis - Utusan Malaysia

Genap setahun pentadbiran, Prabowo ditekan tunaikan janji populis

PRABOWO SUBIANTO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kini genap setahun mentadbir negara selepas kemenangan besar dalam pilihan raya 2024. Namun, beberapa dasar populisnya kini menerima kritikan hebat.

Program makan tengah hari percuma bernilai AS$28 bilion yang dilancar Januari lalu menjadi tumpuan selepas lebih 9,000 kanak-kanak mengalami keracunan makanan. Kekurangan infrastruktur penghantaran makanan dan kawalan kualiti menjadi punca utama.

Kerajaan mempertahankan program itu sebagai pelaburan jangka panjang untuk kesihatan dan pendidikan, namun NGO kesihatan mendesak ia dihentikan segera atas risiko keselamatan.

Pada Ogos, puluhan ribu rakyat turun ke jalan membantah kos sara hidup tinggi, rasuah, dan pemotongan bajet untuk kesihatan serta pendidikan. Protes itu meragut 10 nyawa dan memaksa kerajaan menarik balik elaun mewah untuk ahli parlimen.

Sasaran pertumbuhan ekonomi lapan peratus menjelang 2029 masih jauh. Buat masa ini, pertumbuhan kekal sekitar lima peratus, dengan data semasa menunjukkan pelaburan asing merosot dan sektor pembuatan menguncup.

Pemecatan mengejut bekas Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur. Penggantinya, Purbaya Yudhi Sadewa, dilihat kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.

Indonesia kini bergantung kepada dana kekayaan negara baharu, Danantara, serta perjanjian perdagangan dengan EU dan AS untuk merangsang pelaburan dalam sektor tenaga hijau dan ekonomi digital.

Bagaimanapun, pengkritik menyatakan Indonesia masih berdepan masalah lama seperti birokrasi kompleks, kos perniagaan tinggi dan kekurangan tenaga kerja berkemahiran.

Kerajaan menegaskan dasar semasa mampu mencipta pekerjaan dan meningkatkan permintaan domestik, tetapi ramai penganalisis melihat tekanan ekonomi semakin ketara.

Walaupun Indonesia kekal sebagai pasaran besar dengan lebih 280 juta penduduk, Prabowo kini berdepan ujian besar untuk memastikan dasar-dasarnya memberi hasil yang nyata dan berkekalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×