Kem terjun enggan tunduk

Kem terjun enggan tunduk

Ooi Tze Liang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad terjun negara enggan tunduk kepada helah tuan rumah Sukan SEA Thailand 2025 yang didakwa menggunakan taktik luar gelanggang dengan menggugurkan beberapa acara teras Olimpik.

Jurulatih terjun kebangsaan, Ooi Tze Liang, menyifatkan langkah itu sebagai cubaan jelas untuk mengurangkan dominasi Malaysia yang selama ini menjadi kuasa besar acara terjun rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, keputusan hanya mempertandingkan empat acara sahaja iaitu 1 meter (m) papan anjal lelaki, 3m papan anjal lelaki, 3m papan anjal seirama lelaki serta 10m platform seirama wanita yang mana ia amat janggal serta tidak seimbang antara disiplin lelaki dan wanita.

“Ini kali pertama acara Olimpik digugurkan dan ia sangat pelik. Sebelum ini Sukan SEA Kemboja 2023 potong acara, tapi tak pernah potong acara Olimpik.

“Ada acara hanya untuk wanita, tapi tiada lelaki. Ada lelaki, tiada acara wanita. Ini jelas strategi mereka. Kalau semua acara standard dipertandingkan, sudah tentu kita ada peluang cerah,” kata Tze Liang ketika ditemui di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Bagaimanapun, Tze Liang menegaskan skuad Malaysia tidak akan terpengaruh dengan percaturan tersebut dan akan tetap fokus kepada prestasi sendiri biarpun negara serantau yang lain kian meningkat dengan memberangsangkan.

“Bagi Malaysia, kita sentiasa fokus pada persiapan kita sendiri. Itu (penetapan acara) adalah urusan orang atasan. Tugas atlet adalah berlatih dan beraksi dengan baik.

“Cabaran daripada negara lain seperti Singapura dan Indonesia juga semakin meningkat, tapi saya yakin dengan kemampuan atlet kita,” katanya.

Untuk rekod, sejak edisi 2013 di Myanmar, skuad terjun negara menyapu bersih semua pingat emas yang ditawarkan kecuali pada Kuala Lumpur 2017 apabila pingat emas Wendy Ng bagi acara 3m papan anjal seirama wanita ditarik balik akibat gagal ujian doping. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×