Ujian darah bantu ramal risiko penyakit dalam tempoh 10 tahun

Ujian darah bantu ramal risiko penyakit dalam tempoh 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebiasaannya ujian darah hanya akan dilakukan bagi mengesahkan penyakit yang dialami apabila seseorang itu mengalami gejala berkaitan.

Namun, kecanggihan teknologi perubatan kini, berupaya meramal penyakit yang bakal berlaku dalam tempoh 10 tahun lagi menggunakan sampel darah.

Ujian itu mampu meramalkan risiko jenis penyakit yang bakal berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang berdasarkan skor yang ditunjukkan iaitu penyakit seperti diabetes, kardiovaskular, strok, jantung, hati dan buah pinggang.

Teknologi HealthIQ ini diperkenalkan oleh Nightingale Health iaitu syarikat teknologi kesihatan Finland yang dibawa oleh Innoquest Pathology Malaysia iaitu rakan kongsi eksklusif untuk HealthIQ di Malaysia.

Kajian dijalankan membabitkan sampel darah yang diambil daripada lebih tiga juta orang merentasi lebih 30 negara dan diterbitkan di dalam lebih 600 penerbitan perubatan.

Ketua Pemasaran Produk Kumpulan dan Perkongsian, Phatology Asia, Dr. Camille Cyncynatus berkata, ujian itu akan melihat pelbagai jenis penanda dalam darah termasuk zarah kolesterol, asid lemak, asid amino, gula darah dan keradangan.

“Kiraan dibuat menggunakan algoritma pintar bagi mengesan corak risiko penyakit yang akan berlaku. Ia terbukti berdasarkan set data biobank terbesar di dunia. Peserta kajian dipantau sepanjang lebih 10 tahun untuk melihat tahap kesihatan mereka berdasarkan risiko penyakit yang mereka bakal hadapi.

“Mereka menyesuaikan ujian mengikut populasi masing-masing dengan menggunakan pelbagai bio bank berbeza, di mana Singapura mewakili populasi di Asia Tenggara,” katanya.

Dr. Camille ditemui pada majlis pelancaran kerjasama strategik FWD Takaful Berhad dan FWD Insurance Berhad bersama Innoquest.

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Innoquest Malaysia, Adam Hathsey Bronson dan Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Aman Chowla.

Umur pengaruhi keputusan, risiko

Kategori risiko keseluruhan dikira berdasarkan faktor-faktor yang dikesan dalam ujian darah.

Umur juga mempengaruhi keputusan kerana sesetengah penyakit lebih cenderung untuk berkembang pada usia yang lebih tua dan lebih biasa ke atas lelaki atau wanita.

“Peratusan menunjukkan kemungkinan anda akan menghidap penyakit yang dikaji dalam tempoh 10 tahun akan datang, berdasarkan anggaran risiko ini. Sebagai contoh, dalam kategori risiko rendah, seseorang mempunyai 5 peratus peluang untuk menghidap penyakit kardiovaskular dengan anggaran 50 peratus kemungkinan menghidap penyakit dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sebaliknya, seseorang dalam kategori risiko tertinggi mempunyai 15 peratus atau lebih risko.

“Bagaimanapun di Malaysia, tiada rekod menunjukkan mana-mana kaum seperti Cina, Melayu atau India berdepan risiko penyakit tertentu.

“Namun ramai Melayu berisiko mengalami diabetes manakala kardiovaskular mungkin berbeza risiko ke atas kaum India,” katanya.

Katanya lagi, hampir 75 peratus kematian di dunia ini disebabkan penyakit kronik dan 80 peratus daripadanya boleh dicegah. Justeru, orang ramai tidak perlu takut untuk menjalankan ujian kerana banyak penyakit boleh dicegah dan anda belum terlambat untuk membetulkan keadaan kesihatan dan risiko yang bakal dihadapi di masa depan.

Dr. Camille berkata, selepas mendapat hasil ujian, pesakit boleh merujuk kepada doktor untuk mendapatkan nasihat.

Doktor akan membuat pelan penjagaan kesihatan peribadi sama ada mengubah gaya hidup, diet atau perubatan untuk mengurangkan risiko ini.

Saringan kesihatan masih rendah

Walaupun kesedaran semakin meningkat, kadar saringan awal kekal rendah. Kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 mendapati dua daripada lima rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tidak membuat pemeriksaan diabetes, tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi sepanjang tahun lalu.

Adam Hathsey berkata, menyedari cabaran ini, FWD dan Innoquest melangkah ke hadapan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai alat dan akses yang diperlukan untuk menjadikan saringan awal sebahagian daripada gaya hidup mereka.

“FWD dan Innoquest berganding bahu untuk memudahkan serta memperluas akses saringan kesihatan pencegahan bagi rakyat Malaysia.

“Saringan kesihatan pertama seumpamanya di Malaysia ini menyediakan skor risiko penyakit untuk 10 tahun bagi penyakit tertentu, menetapkan penanda aras baharu dalam penjagaan kesihatan proaktif.

“Hasil keputusan ujian darah boleh membantu individu terbabit mencegah sesuatu penyakit daripada berlaku. Ujian darah akan menunjukkan risiko berlaku diabetes dalam tempoh 10 tahun, berdasarkan umur, jantina dan bangsa.

“Kalau boleh kesan penyakit sebelum ia berlaku, anda boleh buat sesuatu untuk mencegahnya. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menjaga pemakanan, bersenam dan ambil ubat-ubatan mengikut nasihat doktor. Kalau tidak berbuat apa-apa mulai sekarang, tidak mustahil anda akan berdepan penyakit seperti diabetes, strok, sakit jantung, hati dan sebagainya,” katanya.

Adam berkata, teknologi mengukur risiko penyakit ini didatangkan dari Finland yang menjalankan kajian membabitkan tiga juta populasi di seluruh dunia dan membandingkan risiko dengan kumpulan peringkat usia yang sama, jantina dan bangsa.

Katanya lagi, terdapat lebih 70 makmal di Malaysia dan ia sudah beroperasi sejak lebih 20 tahun. Sebagai langkah awal, ujian ini terbuka kepada pemegang insurans FWD tetapi akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

Sementara itu, Aman Chowla berkata, usaha itu dijalankan bagi memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selain menjadikan ia satu budaya dan amalan yang sihat.

“Inisiatif ini adalah satu contoh di mana FWD cuba melakukan sesuatu berbeza supaya orang ramai menjadi lebih proaktif dalam penjagaan kesihatan. Ini adalah langkah pertama diantara tiga ujian yang boleh dijalankan iaitu kardiovaskular, diabetes type 2 dan hati.

“Kami akan melihat lebih banyak solusi untuk pelanggan. Keunikan ujian ini adalah ia boleh menjangkan risiko penyakit dalam tempoh 10 tahun yang membabitkan data yang besar untuk membuat jangkaan yang boleh dipercayai,” katanya.

Katanya, pihak insurans itu juga akan melihat produk yang sesuai untuk pelanggannya bagi memastikan mereka dapat manfaat daripadanya selain lebih banyak kerjasama akan dijalankan di masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×