AKHLAK mempunyai peranan yang amat penting dalam mencorakkan tingkah laku dan kehidupan seseorang insan. Setiap perbuatan dan pertuturan manusia adalah cerminan daripada apa yang tersemat di dalam hatinya.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Imam Tua Masjid Wahdatul Ummah, Imam Samsuddin Mat San, 60, berkata, segala amal perbuatan manusia lahir daripada kekuatan jiwa dan nilai rohani yang membentuk dirinya.
“Jika baik hati seseorang, maka baiklah amalnya; jika rosak hatinya, maka rosaklah akhlaknya.
IMAM SAMSUDDIN MAT SAN
Usia: 59 tahun
Asal: Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, Kelantan
Sejarah pendidikan:
Sekolah Kebangsaan Gong Manak, Pasir Puteh.
Sekolah Menengah Semerak, Gong Kedak
Pengajian lanjutan di Pondok Ustaz Adam Gong Bayor, Besut, Terengganu
“Justeru, jadikan Rasulullah SAW sebagai idola kita. Akhlak Baginda luhur, seimbang dan sempurna dalam setiap sudut kehidupan. Tidak ada satu pun budi pekerti baginda yang rendah nilainya,
bahkan semuanya ibarat mutiara yang sentiasa berkilau,” katanya ketika ditemui di Masjid Wahdatul Ummah, Mukim Telaga Papan, Kelantan baru-baru ini.
Samsuddin berkata. Rasulullah SAW sendiri menegaskan tujuan kerasulannya dalam sabda yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik.”
Katanya, antara misi besar Rasulullah SAW adalah membina kembali akhlak manusia yang telah runtuh akibat penyimpangan akidah dan nilai kemanusiaan sejak zaman para nabi terdahulu.
Menurutnya, zaman jahiliah menjadi contoh nyata bagaimana runtuhnya akhlak manusia — berleluasanya pembunuhan, penindasan, peminum arak, pembuangan bayi serta pengamalan tradisi yang menzalimi kaum lemah dan wanita.
“Apakah kemungkaran ini perlu berulang? Berlakunya kes rogol, perzinaan, sumbang mahram, perjudian, minum khamar dan sebagainya kesan pembinaan akhlak gagal dibentuk dalam institusi keluarga,” tegasnya.
Samsuddin berkata, al-Quran banyak menukilkan kisah kaum terdahulu seperti kaum ‘Ad, Samud, Bani Israel dan kaum Nabi Lut bagi menunjukkan bahawa kekuatan dan kejatuhan sesuatu tamadun bergantung kepada keutuhan akhlaknya.
Katanya, masyarakat yang kukuh akhlaknya akan membina peradaban yang tinggi, manakala masyarakat yang rosak akhlaknya pasti menuju kehancuran.
“Pembentukan masyarakat diibaratkan seperti pembinaan sebuah bangunan. Jika asasnya kukuh, maka teguhlah binaannya; namun jika asasnya rapuh, maka robohlah ia.
“Rasulullah SAW ketika membina masyarakat Islam di Madinah memulakan langkah dengan memperkukuh asas akidah dan akhlak. Makanya, dalam sisi kehidupan hari ini akhlak perlu dibina dari rumah lagi dengan didikan yang beracuan Islam,” katanya.
Samsuddin berkata, akhlak yang baik dan buruk adalah dua sisi berlawanan dan lahir daripada sistem nilai yang berbeza berasaskan pendidikan awal yang dibina oleh ibu bapa dalam sesebuah keluarga.
Katanya, masyarakat yang menghayati akhlak Islam akan hidup sejahtera dan harmoni, sedangkan yang tenggelam dalam akhlak buruk akan hidup dalam kekacauan, kehilangan arah dan porak peranda termasuk kecelaruan emosi.
“Sejarah menunjukkan bahawa kemajuan material tanpa panduan akhlak tidak menjamin kemuliaan manusia. Tamadun Barat misalnya, walaupun membanggakan daripada segi teknologi dan ekonomi, sedang berdepan dengan krisis moral dan sosial akibat meminggirkan nilai rohani.
“Tanpa akhlak, manusia boleh jatuh lebih rendah daripada haiwan kerana hilangnya panduan ilahi dalam kehidupan,” katanya.
Menurut Samsuddin, Islam menegaskan bahawa akhlak bukanlah sesuatu yang statik, ia boleh dibentuk dan diperbaiki.
Katanya, Saidina Umar al-Khattab adalah contoh jelas bagaimana seorang yang keras dan kasar pada zaman jahiliah berubah menjadi pemimpin yang adil dan berhati lembut setelah dididik dengan iman dan Islam.
“Justeru, pembentukan akhlak perlu bermula dari dalam diri melalui kekuatan iman. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah RA)
Samsuddin berkata, kesempurnaan akhlak adalah lambang kesempurnaan iman dan umat Islam perlu sedar kemajuan sebenar bukan terletak pada kemewahan atau kekuasaan, tetapi pada keutuhan nilai dan budi pekerti.
Katanya, akhlak mulia adalah asas kepada pembinaan individu, masyarakat dan negara yang berteraskan rahmat serta mendapat keberkatan Allah SWT.










