KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) hanya akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi boleh menang pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah hujung bulan depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun UMNO dan BN Sabah ada kuasa autonomi dalam menentukan calon serta kerusi yang akan ditandingi, tetapi keputusan akhir tetap akan mengambil kira faktor boleh menang.
“Kita harus mengakui hakikat bahawa kita hendaklah meletakkan calon-calon di kerusi-kerusi yang dijangka menang atau yang berpotensi untuk menang.
“Kebolehmenangan ini bergantung kepada beberapa faktor, dan kita akan menentukan serta memuktamadkan calon-calon yang telah dikemukakan itu.
“Saya menerima antara tiga hingga lima calon bagi setiap kawasan DUN, dan saya bersama-sama rakan-rakan dari Sabah serta ibu pejabat akan meneliti dan memuktamadkan hanya kerusi-kerusi yang dijangka mempunyai kebolehmenangan tinggi,” katanya pada Program Karnival Mooda @ Desa X PNG: Penanak Culture Sabah di Pantai Odec, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini. – UTUSAN











