Deepavali: Trend ikat sari jadi pilihan wanita muda

Deepavali: Trend ikat sari jadi pilihan wanita muda

I. DHURGA Devi menunjukkan sepasang kain sari yang telah siap pre-pleating ketika ditemui di salun miliknya di Merlimau, Melaka.UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Perkhidmatan mengikat sari (pre-pleating) kini menjadi trend popular dalam kala­ngan wanita India di negara ini sehingga ada yang sanggup berhabis ratusan ringgit demi kelihatan cantik pada musim perayaan.

Pemilik salun kecantikan dan perkahwinan, I. Dhurga Devi, 37, berkata, perkhidmatan mengikat sari sebelum ini hanya disediakan untuk bakal pengantin sahaja.

Katanya, penampilan pengantin yang kemas, rapi dan cantik pada hari bahagia menyebabkan ramai wanita turut mengimpikan untuk kelihatan seperti itu ketika menghadiri majlis penting atau perayaan.

“Trend ini semakin popular sejak lima tahun lalu dan menjadi ikutan ramai wanita. Sebenarnya tidak semua wanita India pandai mengikat sari kerana panjang kain sahaja mencecah 5.6 meter.

“Pelanggan akan menghantar sari ke butik atau individu yang pakar untuk dibuat pre-pleating. Sari akan digosok terlebih dahulu sebelum pin dilekatkan pada beberapa bahagian lipatan mengikut ukuran badan pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di salunnya di Merlimau di sini.

Dhurga Devi berkata, dia tidak menyangka trend mengikat sari boleh menjadi satu lagi sumber pendapatan yang lumayan.

Menurutnya, dia mula terlibat secara serius dengan pre-pleating sari sejak tiga tahun lalu selepas mendapat banyak permintaan daripada pelanggan.

“Sempena Deepavali tahun ini saya menerima lebih 30 pasang kain sari dengan bayaran RM30 bagi setiap pasang. Setiap sari memerlukan masa antara 30 hingga 45 minit untuk disiapkan.

“Caj yang saya kenakan masih lagi murah berbanding orang lain. Setahu saya ada individu yang mengenakan caj pre-pleating lebih RM500 bagi satu kain sari dan pelanggan masih sanggup membayarnya asalkan mereka kelihatan cantik,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×