POKOK SENA: “Dulu saya bekerja di kedai makan tetapi kerana mahu hidup mewah seperti rakan, saya sanggup ikut mereka melakukan aktiviti tidak bermoral, cukuplah sekali dipenjara.
Demikian luah seorang ibu muda berusia 21 tahun yang menjalani hukuman penjara enam bulan setelah ditahan polis ketika melakukan aktiviti persundalan beberapa bulan lepas.
Ibu tunggal kepada seorang anak dari Padang Besar, Perlis, itu berkata, dia ingin memulakan hidup baharu di samping anak perempuannya yang berusia empat tahun.
“Saya insaf dan menyesal kerana sanggup melakukan aktiviti itu semata-mata kerana wang.
“Cukuplah empat bulan terpisah dengan anak dan keluarga. Walaupun saya dipenjara enam bulan namun ia cukup menginsafkan. Dalam penjara saya belajar agama dan berusaha baiki diri sebagai seorang muslim,” katanya.
Wanita itu salah seorang daripada 39 banduan yang dilepaskan pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani Sempena Deepavali 2025 di Penjara Pokok Sena, semalam.
Sementara itu, Pengarah Penjara Kedah, Timbalan Komisioner Penjara Charin Promwichit berkata, 26 daripada mereka diserahkan kepada majikan sementara 13 lagi akan kembali ke pangkuan keluarga sempena perayaan itu.-UTUSAN.










