MUKADIMAH
KIRA-kira 18 hari selepas berlakunya 13 Mei 1969 susulan daripada keputusan Pilihan Raya Umum 1969 pada 10 Mei ketika itu, salah satu tindakan kerajaan ketika itu ialah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara pada 1 Julai 1969.
Sejak itu, banyak usaha yang dilakukan untuk mengeratkan dan merapatkan hubungan antara semua kaum di negara ini bagi mengelak insiden tersebut daripada berulang di masa akan datang.
Kini, usaha menyatupadukan rakyat Malaysia diteruskan oleh ZULKIFLI HASHIM yang baru sahaja dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) pada 6 Ogos lalu.
Ikuti wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN dan jurufoto, FAISOL MUSTAFA dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini.
UTUSAN: Bagaimana JPNIN memainkan peranannya dari dahulu hingga sekarang?
ZULKIFLI: Sebenarnya jabatan ini masih relevan kewujudannya dalam negara kita kerana ia membantu dalam menjayakan pelaksanaan Dasar Perpaduan Negara.
Di peringkat ini, kami di bawah Kementerian Perpaduan Negara bersama dalam merangka dasar, melaksanakan strategi dan membangunkan pelan tindakan yang berkaitan dengan perpaduan, yang berkaitan dengan integrasi nasional dan juga bagaimana nak membentuk keharmonian masyarakat.
Kita juga mempunyai jentera di peringkat akar umbi dan menyelaras program-program perpaduan yang melibatkan komuniti. Contohnya, kita tubuhkan rukun-rukun tetangga yang ada di seluruh negara, kini kita ada 8,586 buah rukun tetangga dengan keahlian hampir 200,000 ahli jawatankuasa yang meliputi hampir 13 juta rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam rukun tetangga ini.
Kita juga membantu pihak berkuasa seperti polis dalam mencegah jenayah dengan kita menggerakkan jentera di akar umbi kita iaitu skim rondaan sukarela (SRS).
Jabatan ini juga bertanggungjawab dalam memantau dan mengurus isu-isu perpaduan, isu-isu yang boleh menggugat perpaduan. Jadi kita ada sistem e-Sepakat. Melalui sistem ini, pegawai-pegawai kita di lapangan akan melaporkan terus apakah isu-isu yang boleh menggugat perpaduan.
Yang terbaru, rakyat atau masyarakat boleh menggunakan saluran yang dipanggil Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN). Apa-apa isu yang berkaitan, yang boleh menggugat perpaduan boleh disalurkan terus melalui rangkaian ini.
Di bawah jabatan ini juga, peranan kita memupuk nilai-nilai perpaduan melalui jentera yang dipanggil Tabika Perpaduan. Kita mempunyai 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara yang menyemai nilai-nilai perpaduan.
Kita juga membangunkan kapasiti pegawai-pegawai dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat dengan elemen perpaduan kerana kita mempunyai Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) yang diberi tanggungjawab untuk membangunkan kapasiti kepakaran yang berkaitan hal ehwal perpaduan.
Kita juga melaksanakan penyelidikan, mengumpul data-data perpaduan melalui indeks yang diberi nama Indeks Perpaduan Nasional atau IPNAS. Ini antara peranan fungsi Jabatan Perpaduan dulu sehinggalah ke hari ini.
Bagaimana program perpaduan yang dilaksanakan tahun ini?
Tahun ini, kita mengangkat semua program kita dengan tema Harmoni Dalam Kepelbagaian dan menumpukan pada empat iltizam menerusi ekosistem perpaduan iaitu menyemarakkan perpaduan dengan kerjasama pelbagai pihak melibatkan penyertaan semua agensi-agensi kerajaan ataupun melibatkan keseluruhan rakyat Malaysia.
Kedua, Harmoni Madani melibatkan kerjasama dengan pemimpin-pemimpin agama dan mereka juga menyumbang keharmonian dalam program-program perpaduan. Ketiga, Eksplorasi Rukun Negara menyemarakkan lagi nilai-nilai Rukun Negara supaya dapat diamalkan dalam kehidupan seharian yang melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti. Akhir sekali, komuniti sosio budaya supaya mewujudkan komuniti yang menghargai budaya dan warisan yang ada dalam negara.
Kita juga jangan lupa, dalam kegembiraan yang kita nikmati hari ini, ada isu-isu yang sengaja ditimbulkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang memutarbelitkan fakta, jadi kita mohon rakyat sebagai mata dan telinga melaporkan kepada kita isu-isu yang boleh menggugat perpaduan.
Bagaimana tahap perpaduan negara ketika ini berdasarkan indeks IPNAS?
Melalui indeks ini, kita memberi tumpuan kepada empat dimensi. Pertama, kita melihat pada hubungan sosial rentas etnik, sejauh mana hubungan yang meliputi etnik-etnik lain yang ada dalam negara. Kedua, etos nasional melihat jati diri rakyat Malaysia itu sendiri. Ketiga, tadbir urus dan pembangunan, bagaimana kerajaan ataupun di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) berusaha untuk menyediakan perkhidmatan tadbir urus yang baik, yang berikan kepuasan kepada rakyat dan keempat, kita melihat tahap keetnikan.
Daripada indeks yang kita bangunkan, kita lihat pada 2018, skor kita telah mencatat 0.567. Tahap kesepaduan sosial dalam kalangan rakyat Malaysia setakat ini sederhana. Kemudian pada 2022, ada sedikit peningkatan pada skor tersebut menjadikan 0.629, dianggap masih lagi sederhana dan kita meletak sasaran berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada tahun ini sasarannya 0.7. Jadi, kita harap indeks ini akan menunjukkan peningkatan.
Sejauh mana keberkesanan kempen dan program perpaduan yang dilaksanakan JPNIN?
Kita menggunakan beberapa pendekatan untuk menilai sejauh mana keberkesanannya seperti kaedah soal selidik, penyertaan rakyat sama ada ia melibatkan komposisi pelbagai kaum dan maklum balas orang ramai sama ada positif ataupun mungkin ada yang boleh kita mempertingkatkan lagi program kita.
Satu lagi, kita juga melihat keberkesanan kempen melalui pemerhatian kita di lapangan. Selepas program yang kita buat, masih timbulkah lagi isu-isu yang boleh mengeruhkan perselisihan antara komuniti ataupun masih ada rasa ketidakpuasaan dalam kalangan jiran-jiran ataupun komuniti kita.
Kita juga tengok jangka panjang sebab program-program yang kita buat ini, kita tidak boleh melihat habis sahaja program, inilah kesan dia. Program-program perpaduan ini kita kena melihat satu tempoh yang panjang untuk melihat apakah kesannya. Kita tidak mahu penilaian ini hanya bersifat program semata-mata.
Kita nak tengok semua program yang kita buat akhirnya ia akan mencapai satu kejayaan, rakyat boleh hidup bersatu padu. Rakyat boleh saling hormat menghormati walaupun kita datang daripada pelbagai lapisan masyarakat, pelbagai latar belakang.
Apa masalah perpaduan yang masih dihadapi Malaysia ketika ini?
Dasar Perpaduan Negara telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 defisit sosial yang perlu diurus dengan baik, dengan bijaksana dalam usaha kita nak memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Defisit sosial ini sebenarnya merujuk kepada kekurangan atau kelompangan yang boleh menyebabkan gagalnya usaha kita dalam memupuk perpaduan, jadi kita perlu menggalakkan lebih banyak elemen-elemen penyatupaduan dalam kalangan rakyat.
Pertama, cabaran etnik merujuk kepada kurang kefahaman. Kita ini latar belakangnya banyak. Kita ada Melayu, India, Cina termasuklah pelbagai etnik di Sabah dan di Sarawak. Jadi, kita kurang faham tentang etnik yang ada di negara kita yang mungkin boleh mencetuskan permasalahan.
Kedua, kita ada masalah agama. Ini memang antara yang perlu diberi perhatian serius kerana ramai dalam kalangan rakyat kita yang masih kurang faham isu sensitiviti di antara penganut-penganut agama.
Ketiga, kita masih ada kelas sosial. Kelas sosial ini satu realiti yang berlaku di negara kita. Kita masih ada jurang yang berdasarkan etnik, berdasarkan pekerjaan dan ekonomi. Kita ada masalah pendidikan, ruang bandar dan desa, kita ada politik federalisme, media dan sebagainya.
Ini antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dan antara tindakan yang diambil oleh jabatan, kita menggalakkan lebih banyak aktiviti-aktiviti ataupun detik-detik perpaduan. Kita kena mencipta detik-detik perpaduan supaya rakyat tidak menumpukan pada isu-isu sensitif yang boleh menggugat perpaduan tetapi lebih banyak terlibat pada program-program yang boleh memupuk interaksi yang akhirnya menjadi tapak integrasi dalam kalangan rakyat.
Adakah perpaduan semakin terancam di media sosial?
Perkara ini sebenarnya menjadi kebimbangan kepada kita kerana ia boleh mempengaruhi pemikiran. Saya tidak risau pemikiran. Saya khuatir pemikiran itu seterusnya akan mencetuskan sentimen. Apabila mencetuskan sentimen, inilah perkara yang boleh menggugat perpaduan yang kita nikmati pada hari ini.
Jadi, kita melakukan sesi libat urus bersama pencipta kandungan yang sedia ada. Kita nak melahirkan pencipta kandungan yang bertanggungjawab, supaya tidak menyalurkan maklumat palsu atau maklumat yang tidak tepat sehingga boleh menimbulkan rasa bimbang rakyat. Kita tengok banyak contohnya isu-isu yang berlaku. Kadang-kadang ada yang sengaja mengambil kesempatan daripada isu tersebut.
Kita juga melakukan pemantauan dan pengesanan, kita ada jentera-jentera di bawah jabatan, pegawai-pegawai perpaduan kita ada di seluruh negara. Kita mempunyai 4,700 pegawai yang berada di seluruh negara yang boleh membantu, yang turut juga memantau dan seterusnya melaporkan isu-isu yang boleh menggugat perpaduan.
Kita juga bekerjasama rentas agensi dengan agensi-agensi perkara lain, dengan pihak polis, Majlis Keselamatan negara, Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dan pelbagai agensi lain. Dengan rangkaian tersebut, mereka juga saling membantu antara satu sama lain dan kami juga saling cross-check sama ada maklumat yang tersebar itu maklumat yang tepat sebab kita pun nak memaklumkan kembali kepada rakyat.
Di peringkat jabatan juga, kita mempunyai mediator-mediator komuniti. Jadi, kalau ada konflik yang berlaku, konflik mungkin berlaku kerana pelbagai faktor. Mungkin maklumat yang tidak tepat itu mencetuskan perselisihan dan kita perlukan orang tengah tampil ke depan. Jadi, orang tengah ini yang kita panggil mediator, mereka akan melakukan intervensi, mendamaikan, memberi fakta yang jelas terhadap isu yang berlaku. Ini antara pendekatan yang diambil. Kalau benar-benar kita tahu pihak itu memang sengaja dan dia sengaja nak mencetuskan rasa gusah rakyat, tindakan undang-undang, kita boleh buat laporan pada pihak polis. Biar polis menangani kes tersebut.
Bagaimana usaha memupuk perpaduan dalam kalangan belia?
Kita sering mengadakan dialog dengan golongan muda untuk kita memahami apakah aspirasi sebenarnya golongan muda ini kerana cara pemikiran orang muda ini tidak sama dengan cara pemikiran kita. Penghayatan kita terhadap perpaduan mungkin berbeza dengan pendekatan golongan muda.
Jadi, dialog, kumpulan fokus dan diskusi ini penting untuk kita memahami dan mereka juga boleh memberi syor kepada kerajaan. Mungkin kita sudah tahu mengenai perpaduan sebab kita mungkin daripada golongan generasi X dan Y, tapi golongan-golongan generasi Z dan golongan Alfa ini pendekatan yang berbeza yang kita perlu lihat.
Dunia hari ini berubah dan mungkin kita pun kena sesuaikan pendekatan program perpaduan mengikut cita rasa golongan muda ini. Kita juga terus bekerjasama dengan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun kelab-kelab belia supaya orang-orang muda turut bersama. Jadi, kita tidak tinggalkan sebenarnya golongan muda ini. Kita libatkan mereka supaya ada pelapis satu hari nanti.
Apa pelan jangka panjang JPNIN?
Kita cuba membina satu naratif nasional yang inklusif, maksudnya kita nak pupuk perpaduan, bukan perpaduan dalam kalangan satu-satu etnik sahaja tetapi kita nak memupuk perpaduan dalam kalangan inter-etnik. Ada keperluan di peringkat intra iaitu sesama kita, Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina tapi kita lebih fokuskan ke peringkat inter-etnik. Melayu dan India, Melayu dan Cina. Kita kena bina naratif tersebut dan naratif itu juga mesti mengandungi elemen Rukun Negara dan juga apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Kedua, pendidikan sepanjang hayat dengan menerapkan elemen-elemen perpaduan dalam semua golongan. Daripada peringkat kanak-kanak, golongan muda, pertengahan sehinggalah dewasa. Melalui pendidikan inilah sebenarnya diberi penerangan, apakah peranan rakyat dalam usaha kita nak memupuk perpaduan.
Kami juga akan terus mengadakan dialog-dialog dengan pihak-pihak belia, pihak-pihak agama supaya kita mendapat maklum balas yang boleh membantu jabatan dan semua yang dilaksanakan. Insya-Allah, kita buat penilaiannya, akan kita perkukuhkan dan kita akan atur gerak kerjanya. Ini adalah pelan yang berterusan dan insya-Allah, dengan kerjasama Kementerian Perpaduan dan semua agensi-agensi kerajaan, pelan ini boleh dilaksanakan dan pelan ini bukan sahaja pelan di peringkat jabatan tetapi semua pihak turut terlibat.
Apa harapan JPNIN kepada rakyat Malaysia?
Kami mengharapkan rakyat dapat merealisasikan aspirasi untuk turut bersama memikul tanggungjawab menyebarluaskan mesej kepada semua rakyat dan mengajak rakyat bersama-sama untuk kita pupukkan perpaduan, meraikan kepelbagaian. Dalam usaha kita mahu mencapai kejayaan dan kemajuan, kejayaan itu disulami dengan nilai-nilai perpaduan. Inilah nilai-nilai yang perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia. – UTUSAN










