LISBON: Impian Portugal untuk layak lebih awal ke Piala Dunia 2026 tertangguh selepas diikat 2-2 oleh Hungary dalam aksi kelayakan Kumpulan F, semalam.
Dalam aksi berkenaan, bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mencipta rekod baharu sebagai penjaring terbanyak sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia.
Bagaimapun, malam gemilang Ronaldo yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu direncatkan oleh jaringan penyamaan lewat permainan Hungary.
Selepas Attila Szalai meletakkan pelawat di depan, dua jaringan separuh masa pertama daripada Ronaldo hampir memastikan skuad kendalian Roberto Martinez layak lebih awal ke Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, Dominik Szoboszlai muncul wira Hungary apabila menyamakan kedudukan pada masa kecederaan sekaligus menghidupkan semula harapan negaranya untuk ke kejohanan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
“Kami semakin hampir mencapai matlamat! Ayuh, Portugal. Kami gagal mengurus permainan dengan baik dalam 10 minit terakhir, kami akan bangkit selepas ini.
“Jika anda tidak menamatkan perlawanan, anda perlu tahu bagaimana mengawalnya hingga ke wisel penamat. Hari ini kami berhenti bermain dan Hungary menghukum kami,” kata Ronaldo.
Skuad kendalian Martinez kini mendahului Kumpulan F dengan 10 mata, lima mata di depan Hungary.
Portugal sebelum ini menewaskan Hungary dalam aksi penuh dramatik lima gol di Budapest dan sekali lagi lawan itu membuktikan mereka bukan pasukan mudah untuk ditewaskan. – AGENSI/UTUSAN










