TAMPIN: Perayaan Deepavali yang akan disambut minggu hadapan memberi pendapatan lumayan buat seorang peniaga perhiasan wanita di Karnival Deepavali di Tampin Square di sini.
Peniaga itu, M. Kristina, 46, berkata, dia mula berniaga di situ yang sinonim dikenali sebagai Little India Tampin sejak lima tahun lalu setiap kali sambutan Deepavali.
Katanya, dia hanyalah seorang suri rumah dan menyertai karnival itu untuk mengisi lapang.
“Berniaga kecil-kecilan ini saya hanya belajar di YouTube sahaja sebab sebahagian perhiasan yang dijual di sini saya buat sendiri menggunakan bahan seperti benang kain sari yang saya beli dari India.
“Yang paling laris perhiasan wanita seperti anting-anting, gelang termasuk lah yang saya buat sendiri berharga antara RM5 hingga RM20. Setakat lima hari ini, jualan saya sudah pun mencecah RM4,000 dan saya menjangkakan jualan akan makin bertambah menjelang Deepavali,” katanya ketika ditemui di Tampin Square, di sini semalam.
Ujar Kristina lagi, ramai yang menyokong jualannya sehinggakan setiap hari dianggarkan sekitar 50 pembeli akan hadir membuat pembelian dengan nilai paling kecil adalah RM5.
“Perhiasan ni memang cukup sinonim dengan kaum India. Lihat sahaja pakaian sari yang dikenakan cukup berwarna-warni. Semua perhiasan seperti anting-anting, gelang dan sebagainya perlu ikut tema,” katanya.-UTUSAN.










