Fakhrul Aiman dihukum gantung

Fakhrul Aiman dihukum gantung

MUHAMMAD FAKRUL Aiman Sajali dibawa anggota polis ke Mahkamah Tinggi Klang, Selangor, semalam atas dakwaan membunuh teman wanitanya. – UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pemuda dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas pertuduhan membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil di Sabak Bernam, dua tahun lalu.

Hakim Norliza Othman memutuskan demikian selepas tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, membuat pe­ngakuan tanpa syarat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bekas penuntut sebuah ins­titusi pengajian tinggi (IPT) itu turut mengakui semua fakta kes serta 112 eksibit dikemukakan pihak pendakwaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Norliza dalam penghakimannya berkata, perbuatan tertuduh disifatkan sebagai jenayah yang dirancang selain sadis dan kejam.

“Dalam kes ini, bukan saja mangsa dan kandungan bayi berusia 18 minggu mati, malah berlakunya elemen kecederaan.

“Selain kesan tikaman di dada dan leher dihiris, perut mangsa dibelah untuk mengeluarkan janin sebelum mayat itu disimbah pula dengan minyak petrol.

“Ini jenayah yang dirancang untuk membunuh mangsa dan ke­salahan berat. Perbuatan ka­mu sadis dan kejam,” katanya.

Tambah beliau, perbuatan tertuduh yang berpelajaran ting­gi tidak dapat diterima dan hanya satu hukuman iaitu gantung di leher sehingga mati.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul Aiman didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi, 23 Mei 2023.

Oleh itu, dia didakwa me­lakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zulkifli dalam hujahannya berkata, kesalahan itu amat serius kerana melibatkan nyawa manusia apatah lagi mangsa yang hamil ketika kejadian.

“Cara mangsa meninggal dunia terlalu kejam dan tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian rupa.

“Tertuduh mempunyai pe­rancangan untuk melakukan jenayah berkenaan. Kesalahan itu melibatkan faktor kepentingan awam dan menjadi pengajaran kepada semua,” katanya

Namun, peguam Muhammad Nor Tamrin memohon hukuman penjara kerana anak guamnya yang berusia 20 tahun ketika kejadian disifatkan menjadi ‘kambing hitam’.

“Keputusan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan spesimen darah mendapati dia bukannya bapa kepada anak dalam kandungan mangsa.

“Anak bongsu daripada lima beradik itu tiada rekod displin dan memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.8 di akhir semester,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanita­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini