PETALING JAYA: Sin-Kung Airways Sdn Bhd (Sin-Kung Airways), anak syarikat milik penuh Sin-Kung Logistics Berhad (Sin-Kung Logistics) melantik AeroDarat Sdn. Bhd. (AeroDarat) sebagai rakan strategik bagi perkhidmatan pengendalian darat di lapangan terbang utama seluruh negara.
Kerjasama strategik untuk tempoh tiga tahun itu adalah bagi memperkukuh kecekapan operasi serta kebolehpercayaan perkhidmatan syarikat penerbangan itu.
Di bawah perjanjian tersebut, AeroDarat, anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group Sdn Bhd (MAG) akan mengendalikan operasi darat untuk Sin-Kung Airways di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Labuan, Tawau, Sandakan dan Pulau Pinang dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai lokasi alternatif.
Ia merangkumi pelbagai aspek perkhidmatan pengendalian darat dan kargo, termasuk operasi pesawat di landasan, kawalan muatan, operasi penerbangan, pengendalian kargo dan mel serta sokongan teknikal lain.
Semua perkhidmatan tersebut dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Air Transport Association (IATA).
Pengarah Urusan Sin-Kung Logistics, Alan Ong berkata, pelantikan AeroDarat menandakan langkah penting dalam strategi syarikat untuk memperluas rangkaian penerbangan domestik dan serantau sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kargo udara.
“Dengan kepakaran serta infrastruktur menyeluruh yang dimiliki AeroDarat, kami yakin dapat mencapai masa pusing balik pesawat yang lebih singkat, meningkatkan kecekapan operasi darat dan memperkukuh kebolehpercayaan rangkaian kami.
“Kerjasama ini membolehkan kami beroperasi secara lancar dan konsisten di seluruh negara, sejajar dengan komitmen kami terhadap standard bertaraf dunia serta pembangunan berterusan ekosistem penerbangan negara,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi AeroDarat Services, Ibrahim Mohamed Salleh berkata, kerjasama berkenaan mengukuhkan lagi peranan syarikat itu dalam mempertingkat rantaian bekalan industri penerbangan Malaysia.
“Kami berbangga dapat menyokong pertumbuhan Sin-Kung Airways dengan penyelesaian pengendalian darat bersepadu yang menekankan aspek keselamatan, kecekapan dan kebolehpercayaan.
“Usaha ini turut mencerminkan semangat kerjasama kukuh dalam industri penerbangan tempatan yang kini kembali berkembang pesat,” ujarnya.
Perjanjian itu turut memperlihatkan gelombang baharu kerjasama antara pemain industri penerbangan tempatan, sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan tahap keterhubungan, memperkukuh daya tahan sektor penerbangan serta memupuk sinergi antara syarikat penerbangan dan penyedia perkhidmatan sokongan.
Bagi Sin-Kung Airways, kerjasama dengan AeroDarat menjadi asas penting kepada fasa seterusnya dalam rancangan peluasan operasi di bawah Sin-Kung Logistics yang terus giat melabur dalam keupayaan logistik dan penerbangan bersepadu. – UTUSAN








