DALAM dunia larian hari ini, kasut bukan hanya direka untuk prestasi semata-mata, sebaliknya gabungan keselesaan, ketahanan dan responsif dalam memberi tindak balas yang tepat serta sesuai terhadap sesuatu rangsangan atau perubahan pelbagai bentuk permukaan.
Ini bermakna kasut yang dibuat dengan ciri tersebut membantu atlet berlari dengan lebih lancar dan kurang penat.
Terbaru, jenama sukan antarabangsa, Puma tampil dengan model Velocity 4 yang dilengkapi nitrofoam pada satu bahagian lapisan midsole bagi menghasilkan kusyen lebih ringan dan pulangan tenaga maksimum kepada pelari.
Di bahagian tapak luar, kasut ini mempunyai cengkaman yang sangat baik untuk pelbagai permukaan sama ada di jalan raya atau trek apabila bahagian tersebut menggunakan pumagrip.
Sementara itu, di bahagian atas kasut pula menggunakan material nipis yang bernafas, memberi keselesaan walaupun dipakai untuk tempoh panjang.
Dengan ketinggian tapak 36 millimeter (mm) di tumit dan 26 mm di tapak hadapan, ramai pelari mengakui keselesaannya terutama dalam menyerap hentakan.
Tambahan pula dengan dengan berat 250 gram, sekali gus menjadikannya antara kasut larian yang ringan dalam kalangan jenama lain.
Kasut ini juga menawarkan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan, sesuai digunakan sama ada untuk latihan harian, larian tempo mahupun acara jarak jauh.
Namun, ada segelintir berpandangan kasut ini agak sempit di bahagian tengah kaki, sekali gus boleh menyebabkan ketidakselesaan atau lepuh, terutama bagi yang berkaki lebar.
Namun, daripada sudut prestasi dan nilai harga,Velocity 4 tetap menjadi pilihan berbanding siri sebelum ini.
Harga kasut ini ialah RM599 dan dijangka menjadi antara kasut larian tumpuan untuk siri acara maraton di masa akan datang.










