Perak terajui Liga A1 Semi Pro

Perak terajui Liga A1 Semi Pro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saingan Liga A1 Semi Pro menampilkan persaingan hebat dengan enam kedudukan teratas tidak dibezakan jurang mata yang besar.

Minggu kelapan menyaksikan Perak FA yang dikendalikan oleh Syamsul Saad mendahului carta Liga A1 dengan 17 mata selepas lapan perlawanan.

Aksi terakhir kelmarin, Perak FA melakar kemenangan 4-0 ke atas Manjung City hasil jaringan Fadhil Azmi, Ekene Victor, Alif Zikri dan Amirul Akmal.

Dua pasukan mengejar rapat Perak FA ialah Armed Forces FC dan Kelantan WTS FC yang berkongsi 16 mata, namun Armed Forces berada di tangga kedua kerana perbezaan jaringan.

Bagaimanapun, wakil Pantai Timur itu kekurangan satu perlawanan, sekali gus mampu mencabar kedudukan teratas sekiranya meraih kemenangan dalam aksi terakhir.

Sementara itu, kedah FA berada di kedudukan keempat dengan 15 mata diikuti Selangor FC II dan Imigresen FC yang berkongsi 14 mata dan Johor Darul Ta’zim (JDT) 11 (13 mata).

Selangor FC II juga berpeluang untuk mencabar carta liga apabila mereka kekurangan dua perlawanan berbanding Perak FA dan juga Armed Force FC.

Situasi ini menyaksikan peluang untuk enam pasukan teratas masih terbuka untuk menguasai Liga A1 Semi Pro dan peminat juga teruja melihat persaingan sihat.

Di pertengahan liga pula, satu lagi wakil Pantai Timur, Kelantan Red Warriors (KRW) FC, mula memperbaiki persembahan untuk berada di tangga ke sepuluh liga.

Anak buah Irfan Bakti Abu Salim melakar kemenangan pertama jumaat lalu selepas menundukkan Machan FC 4-0 di Stadium Sultan Muhammad IV selepas melakar empat keputusan seri.

Kemenangan itu jelas melegakan Irfan Bakti yang sebelum tidak berpuas hati dengan penyudah tumpul anak buahnya, sekali gus merencatkan perancangan pasukan.

“Bayangkan selepas empat seri dan dua kali kalah baru kita berjaya raih kemenangan. Kalau kami main ‘buruk’ tak apa tetapi kami ‘main cantik’ serta ada peluang, namun tidak boleh menjaringkan gol dan itulah juga yang berlaku pada separuh masa pertama menentang Machan FC.

“Saya beritahu pemain tidak boleh ada lagi seri atau kalah. ‘Full stop’ dan alhamdulillah di separuh masa kedua kita peroleh empat gol. Sungguhpun tidak cantik tetapi gol,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×