KUALA LUMPUR: Pembaharuan strategik dalam industri kewangan Islam perlu disegerakan bagi memastikan peranannya kekal relevan dan mampan dalam menghadapi landskap ekonomi global yang semakin mencabar.
Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, Forum Kewangan Islam Global (GIFF 2025) berfungsi sebagai wadah penting yang memperkukuh jaringan kerjasama antara pemain industri yang mencerminkan komitmen kolektif untuk memajukan kewangan Islam ke tahap yang lebih tinggi.
“GIFF berfungsi sebagai wadah penting yang memperkukuh jaringan kerjasama antara pemain industri, sambil mencerminkan komitmen kolektif untuk memajukan kewangan Islam ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita berada di titik persimpangan strategik. Satu haluan menuntut penambahbaikan berperingkat, manakala satu lagi menuntut anjakan pembaharuan yang berani demi mentakrif semula peranan kewangan Islam dalam membentuk sistem kewangan global yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Forum Kewangan Islam Global (GIFF 2025) malam ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berangkat menyempurnakan majlis tersebut.
Abdul Rasheed berkata, tiga tumpuan utama dalam usaha memperkukuh masa depan kewangan Islam memperluas struktur perkongsian risiko iaitu galakan terhadap penggunaan kontrak seperti Mudarabah dan Musharakah bagi meningkatkan penyertaan ekonomi dan menyediakan alternatif pulangan risiko yang lebih pelbagai.
“Selain itu, menjadikan kewangan Islam sebagai teras ekomomi halal dan lestari iaitu meningkatkan peranan institusi kewangan Islam dalam menyokong pembangunan ekonomi halal dan pembiayaan berasaskan kelestarian.
“Di samping itu, memanfaatkan potensi wakaf dan zakat iaitu pembangunan rangka kerja pelaburan wakaf, penambahbaikan tadbir urus zakat dan penggunaan ukuran seperti social return on investment (SROI) bagi memastikan impak yang lebih ketara kepada masyarakat,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, pembaharuan bukan bermaksud meninggalkan asas sedia ada, tetapi sebagai langkah memperkukuh matlamat industri berteraskan nilai dan etika.
Beliau turut memuji inisiatif Malaysia dalam pelaksanaan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), pengaplikasian kewangan sosial serta rangka kerja sukuk hijau dan lestari sebagai contoh kepimpinan yang menjadikan nilai sebagai teras dalam pembangunan kewangan Islam.
“Di Malaysia, hala tuju kewangan Islam dibentuk bukan sahaja oleh dasar yang teliti, tetapi juga oleh komitmen terhadap prinsip berasaskan nilai yang melangkaui keuntungan semata-mata,” katanya.
Abdul Rasheed turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Sultan Nazrin Shah yang selama ini menjadi suara penting dalam memperjuangkan potensi kewangan Islam di peringkat global. –UTUSAN











