AI pemacu ekonomi baharu, bukan ancaman pekerjaan

AI pemacu ekonomi baharu, bukan ancaman pekerjaan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKNOLOGI kecerda­san buatan (AI) bukan se­kadar alat bantu tugas manusia, tetapi ki­ni menjadi teras kepada transformasi ekonomi global. 

Kemajuan pesat teknologi AI, khususnya selepas kemunculan model bahasa besar (LLM) seperti ChatGPT dan Gemini telah mem­percepatkan automasi ser­ta keupayaan analitik data di pelbagai sektor. 

Perkembangan ini disokong oleh kemajuan infrastruktur digital dan perkakasan berkuasa tinggi yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan sistem AI berskala besar.

Pengarah Institut Kecerdasan Buatan & Data Raya (AIBIG), Uni­versiti Malaysia Kelantan, Dr. Muhammad Akmal Remli ber­kata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi an­ta­ra pemain utama dalam eko­no­mi berasaskan AI sekiranya pen­dekatan yang diambil bersi­fat strategik dan berasaskan ilmu.

“Kerajaan sudah pun memperkenalkan pelbagai inisiatif ke arah pembangunan AI, namun pelaksanaannya mesti dikawal selia dengan tatakelola yang baik dan berpaksikan disiplin ilmu yang tepat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, ekosistem AI tidak boleh dimonopoli oleh segelintir pihak sahaja kerana bidang ini merangkumi pendidikan, penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.

“Kita tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi luar. Malaysia mesti membangunkan keupayaan AI sendiri melalui pelaburan jangka panjang dalam bakat, fasiliti moden serta dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mampan,” jelasnya.

Menurutnya, kejayaan membina ekosistem AI bukanlah proses sehari dua, sebaliknya memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, universiti, pusat penyelidikan dan industri untuk memastikan hasilnya memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi.

Dari sudut tenaga kerja, beliau menolak pandangan bahawa AI akan menggantikan sepenuhnya pekerjaan manusia. Sebaliknya, kehadiran teknologi AI ini akan memperkukuh kecekapan dan produktiviti.

“AI tidak mengambil alih semua pekerjaan. Namun, pekerja yang memiliki kemahiran AI ber­ke­mungkinan menggantikan me­re­ka yang tidak menguasainya. 

“Bagaimanapun, tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi supaya negara tidak ketinggalan dalam gelombang ekonomi baharu berasaskan data dan automasi.

“Dengan perancangan teliti dan ilmu yang betul, Malaysia mampu melahirkan saintis dan pakar AI bertaraf dunia, seterusnya memacu pertumbuhan inovasi serta muncul sebagai hab teknologi di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas A2TECH Sdn. Bhd., Professor Ir Ts Dr Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi FASc berkata, transformasi paling ketara hasil kemajuan teknologi AI) dapat dilihat dalam bidang pendidikan, pembuatan serta kesihatan dan bioperubatan. 

“Kita perlu terus menyesuaikan diri dengan perubahan pesat agar tidak ketinggalan dengan perkembangan teknologi semasa.

“Dalam bidang pendidikan, kecerdasan buatan akan mengubah pendekatan tradisional seragam untuk semua kepada pembelajaran peribadi. 

“Setiap pelajar boleh memanfaatkan guru maya berasaskan AI yang menyesuaikan kadar, gaya dan kandungan pembelajaran mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, dalam bidang pembuatan pula lebih banyak kilang pintar akan dibangunkan dan operasi dapat dioptimumkan dengan penggunaan kecerdasan buatan.

“Kecekapan tenaga, penyelenggaraan jangkaan serta pengurusan inventori akan menjadi amalan biasa. 

“AI berupaya merevolusikan proses diagnosis, termasuk mengesan penyakit kronik seperti kanser lebih awal melalui analisis imej pengimbas resonans magnet (MRI) atau sinar-X.

“Teknologi ini juga dapat mengoptimumkan perkhidmatan kepada pesakit di hospital,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Athif berkata, kerajaan perlu melabur dalam infrastruktur data dan penyelidikan peringkat nasional yang berkualiti tinggi serta selamat.

“Sokongan kukuh terhadap penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan tempatan amat penting, terutama dalam menangani isu seperti keselamatan sempadan, kepelbagaian biologi, pertanian pintar, logistik dan diagnosis penyakit.

“Langkah strategik yang perlu diberi perhatian termasuk memperkukuh asas Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)  di peringkat sekolah,” katanya.

Menurut beliau, di peringkat universiti, UTM telah memulakan program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan di bawah Fakulti Kecerdasan Buatan dan inisiatif itu turut disambut baik oleh universiti lain.

“Selain itu, galakan terhadap penganjuran kem intensif serta latihan semula dan peningkatan kemahiran untuk tenaga kerja sedia ada juga amat penting bagi memastikan tenaga kerja kita kekal relevan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×