WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan beliau sudah mengarahkan agar anggota tentera dibayar minggu depan walaupun penutupan kerajaan masih berterusan dan tiada tanda-tanda akan berakhir.
Trump berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pentagon, Pete Hegseth untuk menggunakan semua dana yang ada bagi memastikan anggota tentera dibayar pada 15 Oktober sambil menuding jari kepada Demokrat atas pertikaian bajet yang kini memasuki minggu kedua.
“Saya tidak akan membenarkan Demokrat menjadikan tentera dan keselamatan negara sebagai tebusan melalui penutupan kerajaan yang berbahaya ini,” tulis Trump di platform medianya, Truth Social.
Dengan tiada penyelesaian di depan mata, kedua-dua parti Republikan dan Demokrat terus saling menyalahkan atas krisis tersebut. Kenyataan Trump pada Sabtu itu dilihat sebagai satu lagi serangan politik terhadap pihak lawan.
Penutupan kerajaan menyebabkan ratusan ribu kakitangan awam terpaksa bercuti tanpa gaji, manakala sebahagian lagi yang dianggap penting diarahkan terus bekerja tanpa bayaran sementara.
Kira-kira 1.3 juta anggota tentera aktif dijangka tidak menerima gaji pada Rabu depan, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah penutupan kerajaan moden di AS.
Pengumuman Trump itu dibuat sehari selepas Rumah Putih memulakan proses pemberhentian besar-besaran pekerja persekutuan dalam usaha meningkatkan tekanan terhadap pihak Demokrat.
Menurut Ketua Bajet Rumah Putih, Russ Vought, pentadbiran kini mengancam untuk memberhentikan sebahagian daripada 750,000 penjawat awam yang diletakkan dalam cuti tanpa gaji.
Menurut dokumen mahkamah yang difailkan bagi menghalang tindakan tersebut, kerajaan bercadang memberhentikan kira-kira 4,000 pekerja di beberapa agensi kerajaan.
“Republikan lebih rela melihat ribuan rakyat AS kehilangan pekerjaan daripada duduk berunding dengan Demokrat untuk membuka semula kerajaan,” kata Senator Demokrat Chuck Schumer, pemimpin minoriti Senat AS.
Sementara itu, kesatuan yang mewakili 800,000 pekerja kerajaan telah memfailkan permohonan kepada mahkamah persekutuan di San Francisco bagi mendapatkan perintah kecemasan untuk menghalang pemberhentian kerja itu menjelang pendengaran rasmi pada 16 Oktober.
Penutupan kerajaan bermula selepas tarikh akhir 30 September apabila Kongres gagal meluluskan rang undang-undang pembiayaan baharu.
Sejak itu, Senat Demokrat berulang kali menghalang resolusi Republikan untuk membuka semula agensi persekutuan. -AFP










