11 warga China terlibat sindiket judi online - Utusan Malaysia

11 warga China terlibat sindiket judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan 11 warga China termasuk seorang wanita terlibat dalam perjudian dalam talian di Jalan P. Ramlee dekat sini pada 9 Oktober lalu. 

Operasi bermula kira-kira 3.50 petang itu melibatkan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil maklumat awam serta risikan selama dua minggu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menahan seramai 10 lelaki dan seorang wanita warga China berusia antara 20 hingga 40 tahun yang terlibat dalam sindiket terbabit. 

Katanya, taktik sindiket dengan menjadikan kondominium mewah di ibu negara sebagai pusat operasi perjudian dalam talian akhirnya.

“Sindiket itu dikesan menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk mempromosikan serta menjalankan aktiviti perjudian dalam talian yang menyasarkan pasaran luar negara.

“Dalam serbuan itu, siasatan awal mendapati dua daripada mereka memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), lima tinggal lebih masa manakala empat lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Operasi berkenaan turut merampas tujuh pasport China, 11 komputer riba, tujuh telefon bimbit, tiga set komputer dan wang tunai RM3,900.

Zakaria berkata, dua lelaki berkenaan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, lima lelaki di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, manakala tiga lelaki dan seorang wanita di bawah Seksyen 6(3) akta sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×