WASHINGTON: Sebuah mahkamah rayuan persekutuan menghalang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Trump daripada mengerah anggota Pengawal Kebangsaan ke Illinois.
Mahkamah Rayuan AS bagi Litar Ketujuh memutuskan anggota Pengawal Kebangsaan dari Illinois kekal berada di bawah arahan persekutuan, namun tidak boleh dikerahkan di negeri itu.
“Anggota Pengawal Kebangsaan tidak perlu kembali ke negeri asal masing-masing kecuali diarahkan oleh mahkamah,” menurut keputusan tersebut.
Langkah ini dibuat selepas pentadbiran Trump memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah persekutuan terdahulu yang mengarahkan penangguhan sementara terhadap penghantaran anggota Pengawal Kebangsaan ke Illinois.
Susulan keputusan itu, jurucakap Rumah Putih memberi bayangan pentadbiran akan memfailkan rayuan lanjut.
“Dalam rusuhan ganas dan keadaan tidak terkawal yang berterusan serta pemimpin tempatan seperti Gabenor Illinois, JB Pritzker gagal mengambil tindakan, Presiden Trump telah menggunakan kuasa undang-undangnya untuk melindungi pegawai dan aset persekutuan.
“Trump tidak akan berdiam diri terhadap keadaan huru-hara yang melanda bandar-bandar AS, dan kami yakin akan menang di peringkat mahkamah lebih tinggi,” kata jurucakap Rumah Putih, Abigail Jackson dalam satu kenyataan.
Ratusan anggota Pengawal Kebangsaan dari Illinois dan Texas sebelum ini telah dihantar ke Illinois awal minggu ini atas arahan pentadbiran Trump.
Tindakan ini diambil selepas Trump mengancam untuk menggunakan Akta Pemberontakan 1807 yang membenarkan presiden mengerah anggota tentera persekutuan di bandar-bandar AS sekiranya mahkamah mengesahkan langkah tersebut dalam siri cabaran undang-undang.
Minggu lalu, Trump mengerah anggota Pengawal Kebangsaan berhampiran Portland, Oregon, dan Chicago, dengan alasan untuk melindungi kemudahan Imigresen dan Kastam (ICE) di Oregon dan Illinois serta membantu menangani kadar jenayah di bandar-bandar berkenaan. -AGENSI










