BEIRUT: Israel meneruskan keganasan di Tebing Barat dan Lubnan, hanya sehari selepas rejim menghentikan peperangannya di Gaza.
Tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran di selatan Lubnan pada awal pagi Sabtu, mengorbankan satu nyawa dan mencederakan tujuh yang lain.
Serangan tersebut turut menyebabkan gangguan sementara pada lebuh raya yang menghubungkan Beirut dengan beberapa kawasan di selatan Lubnan, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.
Serangan udara yang berlaku awal pagi di perkampungan Msayleh menyasarkan sebuah kawasan yang menjual jentera berat, sekali gus memusnahkan sejumlah besar kenderaan.
Kementerian mengesahkan mangsa yang terbunuh adalah warga Syria, manakala tujuh yang cedera terdiri daripada seorang warga Syria dan enam rakyat Lubnan, termasuk dua wanita.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, serangan tersebut menyasarkan lokasi penyimpanan jentera yang dipercayai digunakan untuk membina semula infrastruktur kumpulan Hezbollah.
Rejim Israel sering menuduh Hezbollah cuba membina semula keupayaannya selepas perang 14 bulan berakhir November tahun lalu, untuk ‘menghalalkan’ pencabulan gencatan senjata yang ditaja sekutunya, Amerika Syarikat (AS).- AGENSI











